PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi mengesahkan tiada sebarang perbincangan di peringkat kerajaan bagi menurunkan harga runcit bahan api terutama RON95 dan diesel.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, beliau baru mendengar desas-desus itu terutama yang dikeluarkan oleh badan penyelidik, MIDF Research.
Beliau berkata, selepas tujuh bulan di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan, tidak pernah sekali pun perkara (menurunkan harga bahan api) itu dibincangkan di peringkat kerajaan.
“Sampai sekarang, saya tidak pernah dengar, malah tidak pernah ada perbincangan mengenainya. Sebenarnya harga minyak mentah dunia sudah naik kepada AS$70 setong dan pernah mencecah sekitar AS$83 setong.
“Keputusan menurunkan harga bahan api ini sebenarnya di bawah Kementerian Kewangan kerana ia membabitkan peruntukan subsidi bahan api.
“Mungkin boleh tanya MIDF, mana mereka dapat berita dan desas-desus itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia, 2022 di sini hari ini.
Sebelum ini, MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit bahan api dalam jangka terdekat ini terutamanya RON95 dan diesel.
Difahamkan, kerajaan akan membuat pertimbangan itu selepas mengambil kira inflasi makanan yang terus meningkat selain tekanan ke atas pendapatan pengguna.
MIDF menjelaskan, kerajaan dijangka menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan. – UTUSAN