PETALING JAYA: Kejatuhan nilai ringgit dijangka menyebabkan harga beras putih import meningkat antara RM1 dan RM2 sekampit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, harga beras putih import sebenarnya sudah meningkat sejak bulan lepas dan akan meningkat lagi pada bulan ini susulan kemerosotan nilai ringgit.
“Pada Mei, pembekal sudah menaikkan harga beras import antara RM1 dan RM2 dan kami sudah diberitahu akan meningkat lagi iaitu RM1 untuk kampit 5 kilogram (kg) dan RM2 untuk 10kg.
“Dulu pembekal jual beras import pada harga RM30 bagi kampit 10kg tetapi kini meningkat kepada RM33.50 atau RM34.
“Namun kalau dibandingkan dengan harga jualan runcit (RSP) bagi beras import, kita masih menjualnya pada lebih murah.
“Harga RSP yang ditentukan dan dicetak di atas paket adalah RM36 tetapi kita jual lebih rendah,” jelasnya.
Rakyat negara ini menggunakan kira-kira 30 peratus beras import manakala bakinya daripada beras tempatan yang harganya masih kekal seperti harga lama.
Kelmarin, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menegaskan harga beras putih tempatan tidak mengalami sebarang kenaikan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, ini kerana harga kawalan maksimum beras putih tempatan di peringkat pengguna masih pada kadar RM2.60 sekilogram seperti yang termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Ameer Ali berkata, walaupun ketika ini berlaku kekurangan 70 peratus bekalan beras tempatan Super Spesial Tempatan 5% (SST5) di pasaran yang berpunca daripada gelombang panas yang melanda negara, harga jualan masih tetap sama.
“Harga jualan masih kekal pada harga RM13 bagi lima kg seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, namun harga kos sudah meningkat menjadikan harga daripada pembekal turut meningkat.
“Dahulu pembekal menjual pada harga RM12.50 bagi beras 5kg, jadi kami menjualnya semula pada harga RM12.80 atau RM13.
“Kini, pembekal menjualnya pada harga RM12.80 atau RM12.90, tapi kami masih perlu menjualnya pada harga RM13 kerana harga dikawal oleh kerajaan.
“Pasar raya besar seperti Mydin tidak begitu terjejas walaupun untung 10 sen tetapi kedai-kedai runcit, mereka tidak mampu, jadi mereka tidak menjualnya, menjadikan beras kurang di pasaran.
“Malah, pembekal sendiri kekurangan barangan, sebagai contoh, 2,000 paket beras diminta oleh penjual tetapi hanya separuh atau lagi kurang dihantar.
“Memang betul beras tempatan SST5 tidak cukup di pasaran, menteri sepatutnya membuat tinjauan secara mengejut supaya dapat lihat masalah sebenar, bukan mengumumkan kepada semua sebelum turun kawasan.
“Kalau begitu sudah pasti pembekal akan menghantar barang siap sedia kepada kawasan tersebut sahaja supaya kelihatan mencukupi,” katanya. – UTUSAN