Rightside: Nikmati daging berasaskan tumbuhan - Utusan Malaysia

Rightside: Nikmati daging berasaskan tumbuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK sukar pengamal diet vegan di negara ini mencari makanan berprotein tinggi yang majoritinya berasaskan haiwan. 

Sebagai ganti, rata-rata daripada mereka banyak memilih produk berasaskan kacang tanpa dapat menikmati rasa daging sebenar. 

Bagaimanapun, pengamal diet vegan kini boleh menikmati rasa daging tanpa merosakkan cara pemakanan dan pantang yang telah menjadi amalan mereka sejak sekian lama apabila berkunjung ke restoran Rightside. 

Boleh dikatakan hampir semua makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dengan buatan sendiri dihidangkan di sini. 

Wajib dicuba semestinya Burger ZeroBeef yang mempunyai kelembutan dengan rasa 90 peratus hampir sama daging sebenar walaupun dibuat daripada protein kacang.

SAJIAN SOS RENDANG

BURGER ini dimasak sempurna dengan campuran beberapa jenis sayuran seperti tomato sebagaimana burger di tempat lain. 

Roti yang digunakan juga lembut dan semua burger boleh dimakan bersama beberapa jenis sos seperti sos mayo, sos keju dan sos madu. 

Selain itu, ada dua jenis burger lain yang boleh dicuba di restoran ini iaitu ZeroLamb dan ZeroChicken. 

Burger yang ada di sini juga boleh disajikan bersama sos rendang sebagai pelengkap hidangan dan sudah semestinya memberikan kelainan apabila datang ke sini. 

Paling penting, diet berasaskan tumbuh-tumbuhan semestinya mempunyai kadar kalori dan kandungan lemak yang rendah berbanding daging sebenar.

MENU SIHAT

Selain burger, pengunjung juga boleh mencuba menu lain seperti tacos, burrito, kentang goreng, jagung, salad Mexican, milkshake dan philly steak. 

Dalam pada itu, Pengarah dan Pengerusi Rightside Fast Food, Datuk Zhafran Md. Yusuf berkata, jenama tersebut merupakan restoran makanan segera pertama di Asia yang berasaskan tumbuhan dan telah menjalankan penyelidikan secara inovatif. 

“Kita menggunakan bahan premium yang tinggi khasiat demi memastikan menu kami boleh dinikmati sama ada seorang itu pengamal diet vegan atau tidak. 

“Di samping itu, kami juga yakin dengan kehendak pasaran hari ini yang mahukan menu sihat lebih baik yang bukan sahaja berkhasiat, tetapi memenuhi cita rasa pelanggan dan boleh dimakan semasa berdiet,” ujarnya. 

Restoran ini mempunyai dua cawangan yang terletak di lot GF-02, 163, Retail Park, Mont Kiara dan lot No 147-1, Jalan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling. Ia dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga pukul 10 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya