PETALING JAYA: Bagi artis dan penghibur dari seberang peluang mengadakan konsert di Malaysia dianggap satu pengiktirafan, malah percaya selain punya true fans, keyakinan penganjur untuk mendapatkan pulangan yang berbaloi juga tetap diambil kira.
Begitulah hakikatnya apabila muzik dan seni diraikan tanpa sempadan, maka peminat bebas untuk memilih karya mana yang menjadi pilihan dan terbaik buat mereka.
Tanggal 11 Ogos 2023 mungkin terpahat sejarah apabila buat pertama kalinya kumpulan Repvblik yang berasal dari Bogor Indonesia ini akan meraikan sambutan ulangtahun ke-19 mereka sekaligus akan muncul menemui peminat pada jam 8.00 malam di pentas Zepp Kuala Lumpur.
Kumpulan yang memperjuangkan genre Pop Rock dan Rock Alternatif yang popular dengan lagu Sandiwara Cinta, Aku Takut, Sayang Sampai Mati dan Selimut Tetangga ini percaya mereka mempunyai peminat yang ramai di Malaysia berdasarkan maklum balas serta kekerapan lagu-lagu mereka yang sering diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.
Bukan itu sahaja malah lagu Sandiwara Cinta juga berjaya merekodkan jumlah tertinggi tontonan sebanyak 113 juta di platform Youtube.
Mempamerkan keaslian dan identiti tersendiri, kumpulan yang dianggotai oleh empat anak muda iaitu, Ruri (vokal), Lavy (bass), Tyar(keyboard/backing vokal), dan Ei (gitar utama) mula bergiat aktif seawal tahun 2007.
Kumpulan ini bukan sahaja berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemuzik terbaik dalam sejarah industri hiburan Indonesia, malah setiap rilisan mereka berjaya dijual dengan angka yang memberangsangkan.
Menurut Ruri, walaupun sudah kerap mengadakan persembahan pentas, namun beraksi di Malaysia pastinya mempunyai cabaran tersendiri. Selain menyantuni peminat, proses pemilihan lagu dilihat paling mencabar kerana perlu menilai karya yang harus diketengahkan sejajar dengan selera peminat di Malaysia.
Oleh itu mereka perlu memainkan 16 buah lagu yang relevan daripada lapan album sedia ada.
Konsert pada malam itu juga akan menampilkan persembahan pembukaan oleh penyanyi undangan, Yuletta Yucha, yang merupakan Tiktokers terkenal Indonesia. Dia akan menyampaikan empat buah lagu berserta sebuah lagu duet bersama kumpulan Repvblik.
Konsert Revpblik ulang tahun ke-19 ini dibawakan khas oleh penganjur Aytie Management dan Boomset Planning turut mendapat sokongan penuh dari stesen radio Hot.FM, Bulletin.FM dan Molek.FM yang bertindak sebagai radio rasmi.
Selain itu, MRMY Malaysia (Mascot Rider Malaysia) dan Persatuan Busker Malaysia yang popular di platform Tiktok dan Instagram turut bekerjasama mempromosikan konsert ini.
Para peminat juga boleh mendapatkan tiket konsert ini secara rasmi melalui: ticket2u.com.my/Repvblik dengan harga serendah RM155, RM255, RM295, RM365 dan VIP Box pada harga RM4,800.
Peminat boleh mengikuti setiap informasi berkaitan konsert ini di platform sosial media, Aytie Management dan pada waktu sama, pelbagai peraduan akan dianjurkan oleh stesen radio Hot FM dan Molek FM.
Selain berpeluang memenangi tiket menyaksikan konsert, peminat juga boleh memenangi pelbagai hadiah cenderahati eksklusif sempena konsert 19th Anniversary Repvblik live in Kuala Lumpur.