KOTA BHARU: Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Profesor Emeritus Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kelantan 1445H sempena Majlis Sambutan Hijratul Rasul SAW 1445 Hijrah di Masjid Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian, di sini malam tadi.
Ab. Aziz berkata, beliau tidak menjangka terpilih kerana masih ramai calon yang dilihat layak untuk menerima anugerah berkenaan.
“Sebenarnya saya tidak tahu akan menerima anugerah ini. Tahu-tahu terima surat mengatakan saya terpilih sedangkan bagi saya masih ramai yang lebih layak berbanding diri saya.
“Anugerah ini memberikan satu tanggungjawab baharu dalam meneruskan kerja selama ini sama ada dalam bidang ilmu, pendidikan atau pelbagai lagi dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Bekas Dekan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) itu memberitahu, sebaik menerima anugerah berkenaan beliau sudah pun memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini bagi mencukupi tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Maknanya saya perlu bekerja lebih kuat dan memberikan lebih kualiti selepas ini. Anugerah ini bermakna satu kepercayaan telah diberikan untuk saya mempertingkatkan lagi usaha serta kualiti kerja.
“Anugerah ini juga merupakan satu azam baharu bagi saya. Paling penting, berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab apabila dilantik ke sesuatu jawatan. Jadi saya bekerja bersungguh-sungguh walaupun usia sudah mencecah 74 tahun,” ujarnya.
Ab. Aziz Mohd. Zin dilahirkan pada 5 Mei 1949 di Kampung Geting, Tumpat dan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Geting.
Beliau kemudiannya meneruskan pendidikan peringkat menengah di Maahad Muhammad Pasir Pekan (kini Sekolah Menengah Agama Falahiah) dan Maahad Muhammadi Jalan Merbau.
Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di Yayasan Pengajian Tinggi Islam dalam bidang syariah, kemudian di peringkat sarjana dalam bidang dakwah di Universiti Imam Muhammad Ibnu Saud Al-Islamiah, Riyadh, Arab Saudi.
Suami kepada Azizah Fauziah Omar, 68, dan bapa kepada empat anak itu terus mendalami bidang dakwah sehingga ke peringkat doktor falsafah di Universiti Malaya sehingga akhirnya dikenali sebagai Pakar Bidang Dakwah dan Pembangunan Insan. – UTUSAN