MELAKA: Golongan muda terutamanya remaja dikesan antara yang terpengaruh dengan ajaran sesat Suhaini Mohammad atau Si Hulk yang didapati masih aktif di Melaka terutama di Merlimau, Jasin dekat sini.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil mendedahkan, perkara itu dikesan hasil laporan dibuat oleh ahli keluarga individu terlibat selain pemantauan kerap dilaksanakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terutama dalam platform media sosial.
Beliau berkata, aktiviti kumpulan berkenaan yang disahkan bercanggah dengan akidah jelas menimbulkan kegusaran masyarakat terutama di beberapa kawasan panas di Merlimau.
“Kita kesan ada beberapa lokasi di Merlimau dan dalam pemantauan melibatkan remaja dan dewasa. Pemantauan termasuklah dalam media sosial dan sebagainya atau laporan daripada ahli keluarga mereka sendiri yang melaporkan tentang penglibatan anak-anak atau suami.
“Saya tak boleh sebut berapa (jumlah) tetapi sudah ada dalam pemantauan dan telah dikenal pasti kumpulannya.
“Kita sedang siasat dia punya rantaian itu, benda ini berantai dan masih aktif, benda ini bersifat underground dan memang mereka tidak akan menzahirkan kegiatan tersebut. Kita harus melihat dan menyelidik,” katanya kepada pemberita selepas Program Melaka Munajat Bersama Tuan Guru Abdul Somad sempena sambutan Maal Hijrah di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, semalam.
Pada Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, JAIM mengesahkan bahawa pengikut ajaran sesat Suhaini Mohammad yang mengakui Nabi Muhammad sebagai tuhan dikesan cuba melarikan diri ke New Zealand beramai-ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia dipercayai untuk mengikuti pengasas ajaran mereka yang kini berada di negara itu.
Beliau berkata, dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 20 pengikut ajaran sesat berkenaan di Melaka dan perkara itu terbongkar selepas JAIM menahan seorang pengikut berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.30 malam di kediamannya di Jasin, 23 Jun lalu.
Pada Mei 2021, Jawatankuasa Fatwa Johor memutuskan fahaman dan ajaran diasaskan Suhaini atau Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk atau apa juga nama atau gelaran yang dikaitkan dengannya adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam. – UTUSAN