Rakan Grab ZPP bantu asnaf pemandu, penghantar makanan jana pendapatan sendiri - Utusan Malaysia

Rakan Grab ZPP bantu asnaf pemandu, penghantar makanan jana pendapatan sendiri

EBI AZLY Abdullah (kanan) bersama Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tiga dari kanan) melepaskan konvoi penghantar makanan Grab sebagai tanda gimik pelancaran Rakan Grab ZPP di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Zakat Pulau Pinang (ZPP) menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia dengan memperkenalkan Program Rakan Grab ZPP Deposit Sewa Beli Kenderaan (Motosikal) untuk mustahiq atau golongan penerima zakat khususnya daripada kalangan pemandu serta penghantar makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, melalui kerjasama itu, ZPP akan menyumbang kenderaan melalui kaedah pembelian sebanyak 10 buah motosikal dengan setiap satunya berharga kira-kira RM5,600.

Terdahulu, katanya, kertas cadangan mengenai program itu telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang hujung tahun lalu untuk memohon pandangan dari segi hukum pelaksanaan program tersebut sebelum diberikan ‘lampu hijau’.

“Program ini merupakan salah satu usaha pemerkasaan asnaf untuk melihat peserta yang terlibat dapat menjana sendiri pendapatan seterusnya berusaha keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Insya-Allah, jika program ini berjaya, kita akan tambah bilangan peserta pada masa depan. Pada masa sama, ZPP juga mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak atau penaja yang mahu bekerjasama dengan kami khususnya melalui program ini,” katanya.

AMRAN Hazali (empat dari kanan) dan Ebi Azly Abdullah (tiga dari kiri) bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani MoU berhubung kerjasama untuk Program Rakan Grab ZPP di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Pelancaran Rakan Grab ZPP yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Bandar Perda, semalam.

Hadir sama pada majlis pelancaran serta sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu ialah Pengarah Hal Ehwal Awam dan Dasar GrabCar Sdn. Bhd., Ebi Azly Abdullah serta Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Kerjasama antara ZPP dengan Grab Malaysia bermula sejak 2021 melibatkan perkhidmatan kemudahan membayar zakat melalui potongan terus pendapatan yang diperolehi menerusi platform Grab kepada pemandu dan penghantar makanan.

SERAMAI 10 asnaf terdiri daripada pemandu dan penghantar makanan dipilih menjadi peserta projek perintis untuk Program Rakan Grab ZPP.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, inisiatif program Rakan Grab ZPP itu satu peluang dan ruang bagi memaksimumkan agihan zakat yang produktif dalam rangka tindakan memperkasakan ekonomi isi rumah asnaf melalui generasi kedua iaitu golongan belia.

Katanya, ia selaras dengan hasrat Malaysia Madani dengan bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan demi membentuk sebuah masyarakat madani yang maju, terampil serta terangkum.

“Saya juga berharap banyak lagi syarikat besar dan antarabangsa dapat mencontohi GrabCar melalui insiatif yang mereka laksanakan bersama ZPP ini dalam memberikan kemakmuran ekonomi seterusnya membangun daya saing yang tinggi kepada golongan memerlukan terutama asnaf fakir dan miskin dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya