KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO mengintai peluang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini dengan menghantar beberapa nama kepada pucuk kepemimpinan parti itu untuk dipertimbangkan sebagai calon.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, seluruh ahli Puteri menyimpan harapan besar untuk melihat ada antara calon yang disenaraikan mereka dapat meneruskan perjuangan dan bertanding di enam negeri terlibat.
“Insya-Allah, ada calon dari Puteri UMNO tetapi belum lagi ada kata putus. Cuma kami berharap pimpinan atas memandang dan meletakkan calon dari Puteri UMNO untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Senarai calon dah hantar. Adalah dua tiga nama yang saya rasakan sudah bersedia untuk bertanding di peringkat DUN. Kami masih menunggu pertimbangan dari pimpinan atas,” katanya selepas mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO di sini, hari ini.
Mesyuarat itu menyaksikan seramai 34 exco Puteri hadir sama bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit.
Ditanya sama ada Puteri UMNO gentar dengan kekuatan Pas yang memiliki kubu kuat di Pantai Timur, Nurul Amal yakin UMNO tidak mustahil berpeluang mencipta kejutan.
“Strategi mesti ada tetapi masih dalam perancangan. Kami juga telah memulakan fokus gerak kerja bersama parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan. Selain itu, kami tekankan kepada jentera di bawah untuk memastikan kita tidak lari dari fokus pengundi muda dan wanita yang berusia 40 tahun ke bawah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua jentera parti itu untuk terus komited dan terus bertenaga selain tidak putus asa berjuang sempena PRN kali ini.
“Walau provokasi yang datang, kita kena ingat, jangan kita bakar rumah kita sendiri. Kita kena ‘all out’ dan bekerja keras supaya yang mampu untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan,” katanya. – UTUSAN