KUALA TERENGGANU: Puteri UMNO akan membantu kempen calon tunggal sayap itu, Nuraini Yusoff yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu Kulim, Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, jentera pilihan raya Puteri UMNO akan digerakkan ke DUN tersebut untuk memastikan kemenangan Ketua Puteri UMNO Kedah itu selepas penamaan calon Sabtu ini.
Menurutnya, difahamkan jentera Puteri di DUN berkenaan telah digerakkan lebih awal untuk berkempen.
Katanya, beliau menaruh keyakinan Nuraini apat memenangi dan mengekalkan kerusi DUN itu yang disandang BN sebelum ini.
“Walaupun hanya satu kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) ditandingi calon Puteri UMNO, kita berlapang dada dan tidak kecewa..
“Puteri juga akan mengaktifkan jentera pilihan raya untuk memastikan kemenangan kerusi ditandingi calon calon BN itu” katanya pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Puteri UMNO peringkat Terengganu di sini, hari ini.
Majlis itu dilancarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Pada masa sama, Nurul Amal memberitahu, Puteri UMNO juga membantu kempen di 108 DUN di enam negeri yang terlibat dalam PRN nanti.
Tambahnya, Puteri UMNO menggunakan pendekatan menolak kebencian, sebaliknya memilih jalan perpaduan dalam kempen membantu calon BN di enam negeri tersebut.
“Slogan menolak kebencian dan memilih perpaduan itu akan digunakan jentera pilihan raya ketika berkempen dalam PRN kali ini,” ujarnya. – UTUSAN