GOMBAK: Pusat penamaan calon tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Gombak menjadi tumpuan pengamal media yang berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusu di sini sejak pukul 7 pagi ini
Paling mencuri tumpuan, semua pemimpin utama Kerajaan Perpaduan dijangka hadir bagi memberi sokongan kepada calon DUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari; calon DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan calon DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Antara pemimpin yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka mengetuai dua lagi calon gabungan itu yang lain bagi menyerah borang pencalonan masing-masing.
Mohamed Azmin bersaing di DUN Hulu Kelang, manakala Muhammad Hanif Jamaluddin dan Muhammad Hilman Idham masing-masing mewakili PN di DUN Sungai Tua dan DUN Gombak Setia. – UTUSAN