Pusat Dialisis Perkeso jimat kos, ringankan beban pesakit

Pusat Dialisis Perkeso jimat kos, ringankan beban pesakit

MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar (tengah) bergambar bersama penerima-penerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Majlis Pembukaan Pejabat Perkeso Klang dan Pusat Dialisis Perkeso di Bukit Tinggi, Klang. – utusan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jimat kos dan masa antara kelebihan dinikmati pesakit yang menjalani rawatan dialisis di cawangan baharu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini.

Ini kerana, kos yang perlu ditanggung oleh setiap pesakit bagi menjalani rawatan dialisis sama ada di premis luar atau swasta sekitar RM200 hingga RM400 untuk sekali kitaran rawatan atau lebih RM2,000 sebulan.

Menurut seorang pesakit, Mohd. Thaqif Muhammad Azlan, 35, dia yang tinggal di Bandar Sultan Suleiman di sini bersyukur apabila Perkeso menyediakan pusat dialisis yang membolehkannya menjalani rawatan tanpa perlu memikirkan kos yang perlu ditanggung.

“Sejak disahkan mengalami masalah buah pinggang pada Mac lalu, saya tidak dapat bayangkan berapa belanja untuk menjalani rawatan dialisis. Dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan memang amat menyukarkan.

“Alhamdulillah bila Perkeso menyediakan pusat dialisis bersama perkhidmatan pengangkutan percuma dari rumah, memang melegakan. Berbanding di luar, saya lihat kos rawatan sekitar RM300 hingga RM400 sekali. Saya perlu jalani rawatan tiga kali seminggu,” katanya ketika ditemui di Pusat Dialisis Perkeso, Bandar Bukit Tinggi.

ANTARA pesakit yang mendapatkan rawatan dialisis di Pusat Dialisis Perkeso di Pejabat Perkeso Klang, Bukit Tinggi, Klang.

Pembukaan pusat dialisis di cawangan baharu Pejabat Perkeso Klang itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar kelmarin.

Dengan pembukaan Pusat Dialisis Perkeso di sini, badan berkanun itu kini memiliki tiga pusat dialisis di bawah pengurusan Nephrocare Management Sdn Bhd (NMSB) dengan dua lagi berada di Kluang dan Batu Pahat, Johor.

Pusat dialisis itu mempunyai enam mesin dialisis yang kini dimanfaatkan seramai 25 pesakit sejak Februari lalu yang menjalani rawatan tiga kali seminggu.

Pusat itu juga bakal menerima tiga mesin lagi dalam masa terdekat dan sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk tambahan 16 lagi mesin menjadikan jumlah keseluruhan 25 mesin dialisis akan ditempatkan di situ.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar beramah mesra bersama orang ramai yang hadir bagi mendapatkan perkhidmatan di Pejabat Perkeso Klang di Bukit Tinggi, Klang. Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Perkeso, Dato’ Sri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan).

Sementara itu, seorang lagi pesakit, Govindasamy Machopoo, 49, berterima kasih kepada Perkeso atas pembukaan pusat terbaharu itu kerana dia tidak lagi perlu bergantung kepada pusat dialisis di sebuah hospital swasta.

“Memang Perkeso tanggung rawatan dialisis dekat sebuah hospital swasta di sini, tetapi apabila mereka ada cawangan di Bandar Bukit Tinggi, memang dekat dengan rumah saya di Bandar Botanik, tanpa bayaran dan pengangkutan pun percuma.

“Yang paling penting adalah kos rawatan kerana saya tidak lagi bekerja dan ada tiga orang anak yang masih belajar. Dahulu bekerja sebagai pemandu lori, sejak perlu menjalani rawatan dialisis pada Disember tahun lalu, saya terpaksa berhenti kerja,” ujarnya.

Bagi Leong Thean Lee, 54, pula, sikapnya mengambil berat soal caruman bagi mendapatkan perlindungan daripada Perkeso berbaloi walaupun berniaga sendiri dengan membuka sebuah studio seni lukis.

“Sebelum ini saya bekerja dekat sebuah kilang cat, kemudian berhenti dan membuka sebuah studio sejak tiga tahun lalu. Walaupun bekerja sendiri saya tetap mencarum dengan Perkeso dan tak sangka caruman itu berbaloi dan Perkeso banyak membantu saya.

“Saya baru sahaja mula menjalani rawatan dialisis, tetapi itu semua kecuaian saya juga pada tujuh tahun lalu kerana terlalu sibuk bekerja sedangkan doktor sudah maklum supaya saya berjaga-jaga kerana buah pinggang mula ada masalah,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya