KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Haris Ismail, 28, mengambil pendekatan terbuka terhadap tindakan sesetengah pihak yang menggelarnya sebagai ustaz selebriti.
Kata suami usahawan dan pelakon, Noor Neelofa Mohd. Nor itu, dia menerima apa sahaja gelaran yang diberikan masyarakat terhadapnya asalkan bukan panggilan menghina.
“Terserah kepada masyarakat. Saya tidak menghalang bahkan tidak sesekali meminta orang menggelar saya ustaz. Itu terpulang kepada khalayak.
“Kita semua ada baik dan buruk. Saya terima apa sahaja gelaran yang orang berikan kepada saya asalkan bukan gelaran yang hina.
“Jika ustaz ‘selebriti’ itu panggilan baharu yang orang gelarkan kepada saya, tidak mengapa,” katanya.
Pada masa yang sama, Haris juga mengingatkan tentang kerja dakwah yang menjadi tanggungjawab sesama Muslim.
“Kita semua tidak lari daripada melakukan kesilapan. Tetapi, kerja dakwah itu tetap menjadi tanggungjawab kita bersama. Bukan tugas golongan tertentu semata-mata.
“Dakwah bersifat umum, mengajak orang ke arah kebaikan. Ini tanggungjawab setiap Muslim,” katanya lagi.