Projek WCE 88 peratus siap - Utusan Malaysia

Projek WCE 88 peratus siap

WCE
ALEXANDER Nanta Linggi meninjau pembinaan lebuh raya seksyen enam WCE dekat Kampung Assam Jawa di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Keseluruhan pembinaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang 233 kilometer (km) termasuk termasuk laluan tidak bertol senjang 80km berada pada tahap 88 peratus siap.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut mengalami kelewatan berikutan penyelesaian proses pindah milik tanah yang tertangguh sebelum ini menelan kos lebih RM2 bilion.

“Itu pun belanja untuk pengambilan tanah pada mulanya dianggarkan RM980 juta, namun akhirnya melebihi RM2 bilion. Tetapi semuanya selesai, cuma sekarang sedang dalam proses menyiapkan pembinaannya.

“Saya juga diberitahu seksyen enam WCE yang melibatkan laluan dari Kapar sehingga Kampung Assam Jawa sepanjang kira-kira 20km dijangka siap dan dapat digunakan pada Oktober ini,” katanya ketika meninjau pembinaan seksyen enam WCE, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat jajaran akan dibuka pada tahun ini iaitu seksyen satu, dua, enam dan 11 melibatkan kawasan seperti Banting, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Assam Jawa dan Taiping Selatan.

Lebuh raya yang bersambung dengan Laluan Persekutuan Malaysia 5 (FR5) dengan panjang keseluruhan 275.8 km itu dijangka menerima sekurang-kurangnya 300,000 kenderaan sehari apabila siap sepenuhnya pada hujung tahun hadapan atau awal 2025.

Dalam pada itu, Alexander Nanta memberitahu pembinaan plaza tol di WCE akan membolehkan sistem multi-lane free-flow (MLFF) dipasang pada strukturnya untuk digunakan pada masa hadapan.

“Tol ini direka dan dibina untuk persediaan MLFF nanti, tidak seperti plaza tol biasa di lebuh raya lain. Jadi apabila sistem tersebut sedia untuk digunakan, plaza tol tidak perlu diubah suai, sebaliknya sedia untuk digunakan.

“Selain itu, apabila lebuh raya ini siap dibina nanti ia akan menjadi penyumbang kepada peluang atau aktiviti ekonomi lain. Penjimatan masa perjalanan pula dapati disingkatkan hampir sejam. Sementara ada 10 kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya