Projek naik taraf jalan selesai masalah dinaiki air   - Utusan Malaysia

Projek naik taraf jalan selesai masalah dinaiki air  

ALEXANDER Nanta Linggi (hadapan, tiga dari kiri) melakukan gimik penyerahan projek naik taraf jalan Persekutuan di Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Projek menaik taraf jalan menghubungkan Chukai ke Air Putih dekat sini dapat menyelesaikan isu laluan lebih 20,000 penduduk yang sering terputus hubungan jalan berikutan laluan tersebut dinaiki air setiap kali berlaku banjir.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek menaik taraf laluan itu dimulakan pada Mei 2017 dan siap sepenuhnya pada 13 April lalu dengan melibatkan kos sebanyak RM 192.8 juta. 

“Projek ini melibatkan skop menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 11.4 kilometer (km) yang merupakan jalan tunggal dua lorong dengan jalan yang lebih lebar dari Persimpangan Plaza Tol Chukai hingga ke jalan persekutuan menghala ke Chukai. 

“Bagi mengatasi masalah laluan yang dinaiki air, aras jalan raya yang dinaiktaraf ini telah dinaikkan lebih dua meter tinggi sepanjang 3.1 km di lokasi yang berlaku banjir,” katanya selepas majlis  penyerahan projek tersebut oleh Jabatan Kerja Raya Terengganu kepada Kementerian Kerja Raya, di sini, hari ini.

Alexander berkata, sebelum ini bukan hanya penduduk yang terjejas, tetapi juga pengguna jalan raya berikutan laluan selepas susur keluar Plaza Tol Chukai sering dinaiki air. 

Menurutnya, turut dibina, sebuah jambatan baharu di Sungai Tempurung sepanjang 25 meter dan jambatan tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 313 meter dengan menggunakan Jambatan Lengkung Pratuang. 

Selain itu, menurutnya, projek tersebut juga  melibatkan skop menaik taraf lima  persimpangan utama, pemasangan lampu isyarat baharu di persimpangan Jalan Pengkalan Binjai, pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED), kerja-kerja pengaliran dan pengukuhan utiliti. 

Dalam pada itu, Alexander berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menyediakan laluan yang selamat untuk pengguna jalan raya dan pada tahun lalu, kementeriannya telah memperuntukkan hampir RM29 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan Persekutuan di negeri ini. 

Menurutnya, jumlah itu melibatkan 68 jalan di seluruh negeri, melibatkan kerja ‘pavemen’ berkala dan tidak berkala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya