KANGAR: Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli merupakan satu pendekatan yang baik dan menarik bagi membantu rakyat secara lebih dekat.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Norazman Othman berkata, program itu yang merupakan hasil cetusan idea Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dapat memberi gambaran sebenar tentang situasi dihadapi oleh rakyat di peringkat bawah.
Katanya, pendekatan itu juga sekali gus dapat membuatkan hubungan rakyat lebih dekat dengan baginda.
“Program ini adalah satu pengamalan yang sangat menarik dan mengujakan lebih-lebih lagi apabila baginda sendiri yang memulakan dan mengetuai program ini.
“Apa yang ditunjukkan oleh baginda ini membuatkan rakyat akan lebih dekat lagi dengan Tuanku Syed Faizuddin menerusi pendekatan berkenaan,” katanya selepas mengikuti program kayuhan itu sekitar Kampung Repoh dan Kampung Salang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengetuai program kayuhan berkenaan dengan diiringi Norazman bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Shaballah Zainal Abidin, Pengarah JKM Pulau Pinang, Zakaria Taib, dan Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.
Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.
Norazman sedang dalam rangka lawatan kerja ke Perlis dan akan mempengerusikan Perhimpunan Bulanan JKM Bilangan 6 Bagi Tahun 2023 Zon Utara.
Dalam pada itu, Norazman berkata, program kayuhan itu juga sedikit sebanyak membantu JKM bagi menambah baik sebarang kekurangan dan kelemahan jabatan berkenaan.
“Ia dapat membantu JKM menambah baik sebarang kekurangan dan kelemahan dari segi tadbir urus yang boleh kita kenal pasti daripada maklum balas dan apa yang kita lihat sendiri di lapangan,” katanya.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan harapan agar seluruh warga JKM dapat terus bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan nasib pihak yang memerlukan dapat terus terbela.
Dalam program sama, baginda juga berkesempatan meluangkan masa meninjau koleksi sumbangan pakaian terpakai disediakan oleh pihak Perlis Volunteer Action Community (PVAC) dan dipersembahkan taklimat oleh Pengerusinya, Effendey Harun.-UTUSAN