KUALA SELANGOR: Kakitangan Jabatan Penerangan (Japen) di seluruh negara diingatkan tidak sesekali terlibat dengan sebarang aktiviti politik kepartian sepanjang kempen enam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Amaran itu termasuk melibatkan pemakaian baju yang berlogokan mana-mana parti.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, keadaan itu bagaimanapun tidak menunjukkan jentera kerajaan ‘bercuti’ sepanjang tempoh lebih 14 hari berkempen.
“Apa yang penting adalah tugas hakiki bagi jentera itu (Jabatan Penerangan) mesti perlu diteruskan dalam menyampaikan dasar dan pencapaian kerajaan kepada rakyat.
“Jadi, tugas menyampaikan maklumat itu amat penting tanpa terlibat dengan sebarang politik kepartian,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Madani 2.0 Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, hari ini.
Beliau menambah, bagaimanapun tiada surat pekeliling dikeluarkan namun larangan tersebut diberikan melalui arahan am.
“Selain itu, mungkin ada kerja lebih masa kepada kakitangan Jabatan Penerangan kerana ini adalah tempoh pilihan raya. Namun, saya tidak pasti sama ada cuti mereka dibekukan atau sebaliknya setakat ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, capaian internet di Selangor setakat ini mencapai 99 peratus berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Pengukuran itu bagaimanapun berdasarkan capaian sekurang-kurangnya satu menara telekomunikasi.
“Saya telah meminta SKMM merangka semula supaya sekurang-kurangnya satu kawasan ada tiga atau empat syarikat telekomunikasi,” katanya. – UTUSAN