GEORGE TOWN: UMNO Pulau Pinang mengesahkan akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu, 12 Ogos ini.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, selain enam kerusi berkenaan UMNO juga sedang berunding untuk mendapatkan satu atau dua lagi kerusi DUN untuk diwakili calon parti tersebut.
Katanya, setakat ini, enam kerusi yang sah akan ditandingi UMNO ialah DUN Permatang Berangan dan Sungai Dua di Parlimen Tasek Gelugor yang mana kedua-dua kerusi terbabit adalah kerusi DUN yang akan dipertahankan UMNO.
”Kita juga akan bertanding di DUN Penaga dan DUN Bertam di Parlimen Kepala Batas serta di DUN Sungai Acheh di Parlimen Nibong Tebal dan DUN Teluk Bahang di Parlimen Balik Pulau.
”Berkenaan dengan satu atau dua kerusi yang kita sedang runding, saya tidak dapat kongsi statusnya buat masa ini kerana masih belum pasti, kita jangka rundingan mengenainya akan diselesaikan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU-14, PH yang ketika itu bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memenangi 37 kerusi.
BN menang dua kerusi iaitu DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu DUN Penaga.
Menurut Musa, pihaknya telah menghantar senarai nama calon-calon yang sesuai untuk diketengahkan sebagai wakil parti itu di enam kerusi DUN yang sah ditandingi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
”Kini semua keputusan itu terserah kepada Presiden untuk menentukannya,” katanya.
Tambah beliau, calon-calon yang akan mewakili UMNO pada PRN itu nanti merupakan gandingan muka lama dan baharu dalam politik negeri ini.
”Kebanyakan calon kita merupakan orang baharu yang kita yakin mereka mampu menjalankan tugas sekiranya dipilih oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN