PRN: UMNO sokong Ramasamy dicalonkan semula di DUN Perai - Utusan Malaysia

PRN: UMNO sokong Ramasamy dicalonkan semula di DUN Perai

MOHAMMAD IQBAL Kader Gani (tengah) bersama-sama ahli UMNO Cawangan Perai dalam sidang akhbar menyatakan sokongan terhadap pencalonan semula P. Ramasamy di DUN Perai pada PRN akan datang di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Sokongan yang diterima oleh Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy untuk kekal bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini semakin meningkat selepas khabar angin beliau akan ‘digugurkan’ daripada dicalonkan untuk kerusi tersebut oleh DAP.

Terbaharu, UMNO Cawangan Perai menyatakan pendirian tidak ‘berbelah bahagi’ mereka terhadap Ramasamy untuk terus menerajui kerusi berkenaan.

Pengerusinya, Mohammad Iqbal Kader Gani berkata, selain UMNO Perai, dua lagi parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MIC dan MCA cawangan sama juga menyokong penuh pencalonan semula Ramasamy.

“Selama 15 tahun di Perai (sebagai ADUN), beliau (Ramasamy) banyak membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat khususnya kaum Melayu di kawasan ini.

“Beliau (Ramasamy) juga pernah berjanji sekiranya terus diberikan mandat (sebagai wakil rakyat), beliau akan menyelesaikan sepenuhnya isu-isu yang masih belum selesai di sini (Perai),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 30 persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) keagamaan dan keusahawanan turut menyatakan sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu selepas terdapat desas-desus beliau tidak akan dicalonkan lagi oleh DAP bagi penggal keempat.

Wakil mereka, Tan Boon Siew berkata, tidak ada keperluan untuk menukar wakil rakyat baharu ketika keadaan politik negara masih belum stabil sepenuhnya selain terlalu banyak jasa Ramasamy untuk warga Perai sehingga ini.

Kata Boon Siew, selain pembangunan, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu juga banyak membantu menangani masalah banjir yang teruk di kawasan Perai setiap kali berlakunya hujan lebat.

Sokongan terhadap Ramasamy turut diterima daripada Persatuan-Persatuan India seluruh Pulau Pinang kerana pemimpin DAP itu dianggap sebagai pembela nasib masyarakat India.

Sementara itu, Mohammad Iqbal memberitahu, UMNO cawangan Perai yang kini memiliki lebih 400 ahli juga menentang sekeras-kerasnya penamaan calon baharu untuk DUN itu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) yang kini bergabung dengan BN.

Katanya, banyak lagi pembangunan serta projek kemasyarakatan di Perai yang masih memerlukan ‘sentuhan’ Ramasamy dan mereka juga tidak mahu segala projek yang dirancang sebelum ini terbantut.

“Kami tidak mahu muka baharu (sebagai calon PH-BN untuk PRN ini) dan kami mahu menamakan Ramasamy sebagai calon untuk DUN Perai bagi mengelakkan sebarang percanggahan pendapat dalam kalangan pelbagai pihak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN