PRN: Tiada kelibat jentera, bendera Pas iringi penamaan Dominic di DUN Bayan Lepas - Utusan Malaysia

PRN: Tiada kelibat jentera, bendera Pas iringi penamaan Dominic di DUN Bayan Lepas

DOMINIC Lau diiringi penyokong PN ke pusat penamaan calon PRN-15 di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Tiada kelibat penyokong dan bendera Pas mengiringi pencalonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Dominic Lau di pusat penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Malah, kehadiran penyokong PN bagi mengiringi Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang juga hambar apabila dianggarkan kurang 100 orang berkumpul di pekarangan pusat penamaan calon terbabit.

Situasi berbeza bagaimanapun dapat dilihat di kem Pakatan Harapan (PH) apabila kira-kira 300 penyokong yang turut mengibarkan bendera Barisan Nasional (BN) hadir memberi sokongan kepada calon mereka yang juga penyandang, Azrul Mahathir Aziz daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Dominic menyerahkan borang pencalonannya kira-kira pukul 9.04 pagi dengan diiringi pencadang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ramli Hussain serta penyokong, Madzin Che Din juga daripada Bersatu.

Sementara itu, Azrul Mahathir menyerahkan borang pencalonannya pukul 9.12 pagi dengan diiringi pencadang, Safar Said dan penyokong Jamaludin Said yang kedua-dua daripada parti Amanah.

AZRUL MAHATHIR Aziz diiringi penyokong PH-BN ke pusat penamaan calon PRN-15 di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

Situasi di kem penyokong PN itu seolah-olah mengesahkan tindakan boikot oleh ahli-ahli Pas yang tidak bersetuju dengan pencalonan Dominic yang juga Presiden Gerakan bertanding di kerusi itu yang merupakan kawasan pengundi majoriti Melayu serta kubu kuat Pas.

Sebelum ini, pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas dibantah ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas yang mengadakan bantahan aman serta mengugut akan memboikot pencalonan serta PRN kali ini.

Malah, pencalonan Dominic di kerusi itu juga mencetuskan tanda tanya apabila namanya tidak diumumkan sewaktu pengumuman rasmi calon PN Pulau Pinang oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Pongsu Seribu, Kepala Batas dekat sini, Khamis lalu.

Difahamkan, calon PN di kerusi Bayan Lepas pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi DUN Bayan Lepas dimenangi Azrul Mahathir dengan majoriti 5,245 undi selepas mendapat 12,504 undi dengan menewaskan calon BN, Rusli Hashim (7,259 undi) dan calon Pas, Zarina Shinta Madar (2,497 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN