GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menganggap tempoh yang diberikan sebelum tarikh penamaan calon iaitu sebulan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merupakan suatu tempoh yang paling panjang dalam sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sehubungan itu, beliau berkata, dalam tempoh itu, semua parti boleh menyempurnakan segala persiapan sebelum penamaan calon dijalankan.
Sementara itu, bagi tempoh 14 hari untuk kempen sebelum hari pembuangan undi, Kon Yeow berkata, walaupun menyerupai tempoh yang diberikan sebelum ini, ia adalah mencukupi yang mana banyak kerja-kerja berkaitan boleh dilaksanakan sebelum tarikh penamaan calon.
“Justeru, segala urusan penamaan calon dan lain-lain urusan berkaitan akan diselesaikan pada tempoh ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh pengundian bagi PRN di enam negeri diadakan serentak iaitu pada 12 ogos ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Dalam pada itu, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) negeri, Oh Tong Keong turut menyifatkan tarikh PRN yang ditetapkan SPR adalah ideal dan bersesuaian.
Jelasnya, tempoh kempen selama 14 hari juga adalah sama seperti kebanyakan pilihan raya umum sebelum ini sekali gus memberi masa yang sesuai buat pengundi untuk menentukan calon dan parti pilihan mereka. – UTUSAN