GEORGE TOWN: Semua pihak diminta akur dengan keputusan yang akan diumumkan oleh Majlis Presiden Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi gabungan parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pimpinan Majlis Presiden BN dan PH telah mengadakan pertemuan dan keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.
”Kita sudah bertemu di peringkat Majlis Presiden, keputusannya dalam masa dua atau tiga hari lagi akan dapat kita tahu, itu adalah kata putus.
”Apabila Majlis Presiden telah memutuskan, saya harap semua pihak di peringkat negeri akur dengan keputusan yang telah dibuat tersebut, jika tidak, ia tidak akan ada kesudahannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad mengadakan mesyuarat secara tertutup dengan pimpinan UMNO Pulau Pinang sebagai persediaan untuk menghadapi PRN.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau juga menasihatkan semua pihak memberikan fokus bagi memastikan kemenangan memihak kepada gabungan BN dan PH pada PRN berbanding soal agihan kerusi.
“Kalau kita tidak akur dan memperakukannya (keputusan Majlis Presiden), akan ada perasaan tidak berpuas hati, nanti kita tidak dapat mengurus pilihan raya dengan baik, yang penting kita mahu menang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau turut berpuas hati dengan gerak kerja serta persiapan jentera BN dan UMNO untuk berdepan dengan PRN di enam negeri itu kelak.
”Persiapan PRN di enam negeri nampaknya berjalan dengan baik kerana kita memang sudah tahu PRN memang akan diadakan.
”Jentera BN-UMNO sejak Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) memang sentiasa bergerak, saya berpuas hati dengan gerak kerja kita dan ia boleh dipertingkatkan terutama apabila kita tahu di kawasan mana kita akan bertanding,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai gelombang Perikatan Nasional (PN), Mohamad berkata, beliau tidak melihat akan berlaku gelombang PN pada PRN kali ini walaupun perkara itu sering diperkatakan pelbagai pihak.
”Saya tidak nampak apa-apa gelombang pun, cumanya kita perlu perkasakan diri sendiri, kita ada benteng kuat dan gerak kerja yang baik, gelombang tidak sentiasa gelombang, akan ada surutnya,” katanya. – UTUSAN