KOTA KINABALU: Jentera UMNO Sabah bersedia membantu kempen pilihan raya di enam negeri di Semenanjung Malaysia yang akan diadakan pada 12 Ogos depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tumpuan jentera UMNO Sabah adalah bagi membantu kempen di Selangor.
Namun, sekiranya ada negeri lain yang memerlukan bantuan jentera UMNO Sabah dalam berkempen, mereka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Ketika ini, Sabah merekodkan jumlah keahlian paling ramai di seluruh negara dengan seramai 583,979 orang ahli.
Dengan kekuatan yang ada, jentera UMNO Sabah bersedia untuk berjuang dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dan juga kerajaan perpaduan.
Walau bagaimanapun, bilangan pemimpin dan jentera yang akan ditugaskan bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung akan ditentukan kemudian.
“Bilangan pemimpin dan jentera UMNO Sabah akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan dengan barisan pimpinan UMNO negeri,” katanya.
Kira-kira 9.7 juta orang pengundi akan terlibat dalam PRN di enam negeri yang akan diadakan secara serentak pada 12 Ogos. Enam negeri itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala, 8 Ogos pula sebagai tarikh pengundian awal.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos. –UTUSAN