PRN Selangor: Dua exco tidak jadi calon - Utusan Malaysia

PRN Selangor: Dua exco tidak jadi calon

PKR
ANWAR Ibrahim bergambar sebahagian calon PKR yang akan bertanding dalam PRN Negeri pada Program Pengumuman Calon PKR di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua anggota Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dari PKR digugurkan daripada menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Exco terbabit adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian (Kajang) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail (Batu Tiga).

Justeru, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang digantikan oleh David Cheong sementara Batu Tiga pula bertukar kerusi dengan Amanah pada saat akhir.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada tokoh muda dan baharu yang perlu diketengahkan memandangkan kedua-dua exco tersebut sudah pun berkhidmat selama tiga penggal di peringkat negeri dan parlimen.

“Ada pertukaran kawasan saat akhir, saya simpati dengan Roziah tetapi yang kena runding peringkat paling akhir, saya. I am really sorry. Kadang-kadang keputusan bukanlah kita setuju semua, tetapi bila keadaan buntu kita terpaksa ada sedikit kesediaan untuk tolak ansur.

“Jadi sebab itu kita tukar, kita ambil Hulu Kelang dan kita serah Batu Tiga. Tetapi ada kebijaksanaannya kerana kita letak calon di Hulu Kelang, seorang tokoh yang berani dan berani lawan, Juwairiya Zulkifli.

“Kajang, keputusan yang sukar kerana Hee Loy Sian memainkan peranan yang sangat baik dan memuaskan tetapi kita rasa perlu berikan penonjolan kepada tokoh baharu. Kajang David Cheung Kian Yong,” katanya ketika berucap pada Pengumuman Calon PKR, hari ini.

Di Selangor PKR mengumumkan pertandingan di 20 kawasan DUN dengan menampilkan 11 muka baharu termasuk Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) di Lembah Jaya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bersama tiga exconya Borhan Aman Shah, Mohd. Khairuddin Othman dan Mohd. Zawawi Ahmad Mughni akan mempertahankan kerusi masing-masing di Sungai Tua, Paya Jaras dan Sungai Kandis.

Selain itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain seperti Azmizam Zaman Huri, Najwan Halimi, Gunarajah George dan Chua Wei Kiat dicalonkan semula di kawasan masing-masing iaitu Pelabuhan Klang, Kota Anggerik, Sentosa dan Rawang.

Setiausaha Politik kepada Amirudin, Juwairiya Zulkifli pula menjadi satu-satunya calon PKR yang bertukar kawasan dari Bukit Malawati ke Hulu Kelang dan tempatnya digantikan oleh Thiban Subramaniam, sementara di kawasan baharu beliau dijangka menentang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara calon lain turut digugurkan seperti penyandang DUN Permatang, Rozana Zainal Abidin yang merupakan Ketua Wanita PKR Selangor, Bukit Lanjan, Elizabeth Wong serta Seti Setia, Halimey Abu Bakar apabila masing-masing digantikan dengan Mohd. Yahya Sahri, Phua Pei Lei dan Dr. Mohd. Fahmi Ngah.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PKR memenangi 19 kerusi DUN sementara DAP (16) dan Amanah (enam) dan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya