KEPALA BATAS: Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan berdepan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq dalam pertembungan ‘satu lawan satu’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Keputusan itu diumumkan oleh tiga Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang berasingan sebaik sahaja proses penamaan calon di Dewan Millenium di sini, selesai tepat pukul 10 pagi.
Ini kali pertama Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) itu bertanding untuk kerusi DUN selepas tiga kali berturut-turut bertanding di kerusi Parlimen.
Sementara itu, Khalid Mehtab yang juga pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang akan tampil mempertahankan kerusi Bertam atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Selain kerusi DUN Bertam, dua lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Kepala Batas iaitu Penaga dan Pinang Tunggal turut menyaksikan pertembungan ‘satu lawan satu’ antara calon PH-BN dan PN.
Calon Pas yang bertanding atas tiket PN, Mohd. Yusni Mat Piah akan mempertahankan kerusi DUN Penaga dengan ditentang oleh calon muka ‘baharu’ yang ditampilkan oleh BN, Mohd. Naim Salleh.
Mohd. Yusni merupakan penyandang untuk kerusi berkenaan selepas menang dengan majoriti 1,132 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Satu lagi kerusi yang menjadi rebutan di Kepala Batas ini ialah DUN Pinang Tunggal yang melibatkan pertembungan antara Ahli Majlis untuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainudin Mohamed dari PKR dan Pas yang diwakili Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali. – UTUSAN