CHERAS: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang menjadi pertikaian antara Barisan Nasional (BN) dan DAP menyaksikan saingan tiga penjuru apabila kesemua calon selesai mengemukakan dan menandatangani borang pencalonan pilihan raya.
Calon-calon berkenaan ialah daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abd. Aziz; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad dan Perikatan Nasional (PN), Azhar Hambali.
Kesemua nama calon diumumkan oleh Pegawai Pengurus, Abdul Haizul Faisal Abdul Hamid.
“Saya memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonannya,” katanya selepas pengumuman penamaan calon di sini hari ini.
Calon-calon tersebut mengemukakan borang pencalonan masing-masing Dewan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Batu 10, Cheras, di sini.
Proses penyerahan borang pencalonan berakhir pukul 10 pagi ini.
Dusun Tua disandang oleh Edry Faizal Eddy Yusof daripada DAP. Kerusi itu merangkumi 63 peratus pengundi Melayu, diikuti 28 peratus pengundi Cina, India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerusi itu pernah menjadi milik BN-UMNO (Ismail Sani), bagaimanapun, ketika itu beliau tewas kepada calon daripada Pas, Razaly Hassan.
Pada PRU14 2018, Razaly pula tewas oleh Edry Faizal dengan majoriti 10,422 undi.
Difahamkan, DUN Dusun Tua yang terletak di dalam Parlimen Hulu Langat menjadi pertikaian antara UMNO dan DAP.
Bendahari DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming sebelum ini dilaporkan memberi amaran bahawa memberi UMNO bertanding di kerusi itu boleh menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbi DAP.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan mengakui sedikit terkilan apabila kerusi Dusun Tua yang disandang parti itu diserahkan kepada BN.
Pun begitu, sebagai pertukaran kerana menyerahkan kerusi itu, DAP mencadangkan supaya Yang Dipertua Negeri Selangor dilantik dalam kalangan bukan ADUN dan mencadangkan penyandang DUN Banting, Lau Weng San sebagai calonnya. – UTUSAN