PRN: Proses penamaan calon bermula

PRN: Proses penamaan calon bermula

PROSES penamaan calon PRN bermula pukul 9 pagi ini dengan semua calon yang ingin bertanding boleh menyerahkan kertas penamaan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 173 pusat penamaan calon ditetapkan SPR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri di Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan bermula secara rasmi setelah proses penamaan calon diadakan hari ini.

Meskipun PRN kali ini hanya membabitkan enam negeri, ia dijangka hangat ekoran pertembungan besar dua gabungan parti politik antara Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jadi parti manakah yang berjaya memikat hati pengundi? Ia bergantung kepada penilaian 9,773,571 pengundi.

Selangor boleh dikatakan negeri yang menjadi tumpuan utama setelah PN menyasarkan merampasnya daripada penguasaan PH selama tiga penggal berturut-turut dengan cuba menawan pengundi Melayu khususnya di kawasan luar bandar.

Namun, PN dilihat kurang yakin untuk merampas Pulau Pinang daripada PH kerana parti itu dilihat sukar untuk menembusi kawasan bukan Melayu khususnya pengundi Cina.

Meskipun Kedah, Kelantan dan Terengganu dikatakan kubu kuat PN,  BN-PH begitu yakin boleh menawan ketiga-tiga negeri itu setelah melihat sokongan rakyat yang dikatakan mahu angin perubahan berlaku di peringkat tampuk kepemimpinan kerajaan negeri.

Malah PRN kali ini bukan sahaja menyaksikan pertembungan dua parti politik, tetapi membabitkan ‘perseteruan’ dua nama besar iaitu di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ‘bermusuh’ sejak era Reformasi 1998.

Pada masa sama, dijangka lebih 500 calon menyerahkan borang masing-masing bagi mencuba nasib merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Selain BN-PH dan PN, jumlah besar itu termasuk wakil daripada Parti Muda, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Rakyat Malaysia serta calon Bebas.

Antara kawasan panas adalah Hulu Kelang apabila PN mempertaruh Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berpindah kawasan dari Bukit Antarabangsa dan Sungai Tua apabila penyandangnya, Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Menteri Besar Selangor disahkan mempertahankan kerusi itu.

Bermula pukul 9 pagi, semua calon ingin bertanding boleh menyerahkan kertas penamaan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selepas proses penamaan selesai 10 pagi, maka kempen PRN membuka tirai sekali gus memberi ruang kepada semua calon dan parti merebut serta memikat jutaan pengundi dengan tawaran manifesto dan perang saraf bagi menarik sokongan menjelang hari pengundian 12 Ogos ini.

PRN terpaksa diadakan ekoran pembubaran DUN di keenam-enam tersebut yang menyaksikan perebutan 245 kawasan yang merangkumi 36 kerusi DUN Kedah, 45 (Kelantan), 32 (Terengganu), 40 (Pulau Pinang), 56 (Selangor) dan 36 (Negeri Sembilan).

Oleh itu, berbaki tempoh kempen 14 hari, parti atau calon yang mampu dan boleh menarik hati pengundi adalah bergantung sejauh mana perang kempen mereka sepanjang dua minggu bermula hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya