GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menerima tiga laporan berhubung kejadian merosakkan bendera parti politik bermula hari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin setakat tengah malam tadi.
Jurucakap Media PRN Ke-15, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W. Pusphanathan berkata, ketiga-tiga kejadian itu dilaporkan berlaku di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya.
Jelas Pusphanathan yang juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Pulau Pinang, kesemua kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) kerana kesalahan merosakkan bendera parti politik bertanding, namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
Dalam pada itu, beliau menambah, bermula tempoh kempen PRN kelmarin juga, polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 107 permit bagi mengadakan ceramah oleh parti-parti yang bertanding setakat ini.
“Kita telah meluluskan permit bagi kesemua permohonan untuk mengadakan ceramah di semua daerah di negeri ini yang mana tiada permohonan ceramah ditolak setakat ini.
“Bagaimanapun, kita tetap menasihatkan parti-parti politik bertanding supaya memohon permit ceramah lebih awal supaya tiada masalah dari segi kelulusan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sementara itu, Pusphanathan berkata, polis setakat ini juga tidak menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan yang menyentuh mengenai isu agama, kaum dan raja (3R) sepanjang waktu berkempen.
Dalam masa sama, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat berkenaan wujud elemen perjudian oleh mana-mana pihak sepanjang proses PRN negeri ini setakat ini.
“Kita juga terus mengingatkan parti-parti dan individu terutama penyokong parti supaya tidak memainkan isu 3R dan tidak melakukan sebarang provokasi, kacau ganggu atau pergaduhan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian dan kesejahteraan di negeri ini.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terrhadap mana-mana parti politik atau individu yang dikesan melakukan kesalahan ini tanpa mengira status mereka.
“Berkempenlah secara harmoni dan patuhilah peraturan-peraturan serta undang-undang pilihan raya sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, polis Pulau Pinang turut mewujudkan 50 kumpulan cantas atau pemantau dengan kekuatan seramai 44 pegawai dan 195 anggota bagi memastikan ketenteraman awam terkawal sepanjang tempoh berkempen PRN kali ini. – UTUSAN