GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang bersiap sedia memastikan perjalanan proses penamaan calon pada 29 Julai ini berjalan lancar dengan penugasan seramai 2,829 pegawai dan anggota di seluruh negeri ini pada hari tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan ditugaskan di 23 pusat penamaan calon yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan tiada elemen yang boleh mencetuskan kegusaran awam berlaku.
”Pihak polis berharap semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses penamaan calon berlangsung,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon.
Menurut Kok Chin, polis turut melantik pegawai pemantau PRN di setiap daerah bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.
”Untuk makluman, Ops Cantas juga telah bermula dua hari lalu dan akan berterusan sehingga selesai PRN dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.
“Saya juga akan turun padang bersama ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah bagi meninjau kawasan-kawasan yang kita kenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) pada PRN bagi melihat persiapan serta memastikan keselamatan semua,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, kesemua penyokong parti-parti yang bertanding juga dinasihatkan mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh SPR serta polis sepanjang hari penamaan calon berlangsung.
”Sekiranya semua pihak patuh pada arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, kita pasti PRN akan berjalan dengan aman.
”Mana-mana calon yang bertanding juga perlu mengikut serta mematuhi SOP ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, polis juga sedang meneliti sekiranya terdapat keperluan untuk menutup mana-mana jalan ketika proses penamaan calon berlangsung. – UTUSAN