PRN: Polis ingatkan jangan sentuh isu sensitif khususnya 3R sepanjang kempenGEORGE TOWN: Parti-parti politik yang akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi diingatkan supaya tidak memainkan isu-isu sensitif sepanjang berkempen khususnya berkaitan isu 3R (bangsa, agama dan raja).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bagi mengelakkan wujudnya kegusaran dan mendatangkan rasa tidak harmoni dalam kalangan rakyat sepanjang perjalanan PRN kelak.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan parti-parti politik yang bertanding kelak supaya mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada khususnya yang berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan.
“Kita nampak apabila isu 3R itu dimainkan, maka akan berlaku perpecahan dan mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
“Jadi, kita mahu PRN kali ini berlangsung dalam keadaan sangat aman dan pengundi boleh keluar mengundi dan memilih calon mereka (dengan selamat),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja dan meninjau persiapan PRN polis kontinjen Pulau Pinang di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) negeri, di sini malam ini yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin.
Jelas beliau, polis juga mempunyai pegawai perakam dan pegawai zon yang akan memantau perjalanan kempen sepanjang PRN yang mana mereka berperanan merekodkan serta memantau semua aktiviti ceramah.
“Jika ada yang didapati menyentuh berhubung isu 3R, siasatan akan terus dijalankan sama ada oleh Bukit Aman atau di peringkat kontinjen polis itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 40,000 anggota dan pegawai polis akan bertugas sepanjang berlangsungnya PRN di enam buah negeri terbabit.
Jelasnya, kontinjen Pulau Pinang juga akan menerima bantuan dan sokongan seramai 663 anggota dan pegawai polis sepanjang PRN kelak iaitu dari Bukit Aman serta anggota dari negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN.
“Saya juga berpuas hati dengan taklimat persediaan PRN yang diberikan di peringkat kontinjen Pulau Pinang dan apa yang telah disyorkan, dicadang dan dimohon dari segi bantuan keanggotaan oleh Ketua Polis Pulau Pinang juga sangat ideal, tidak terlampau lebih atau ada kekurangan yang boleh menjejaskan perjalanan PRN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan kesemua parti politik yang bakal bertanding pada PRN kelak supaya memohon permit ceramah daripada pihak polis dengan lebih awal.
”Kita memang melayan setiap permohonan untuk mendapatkan permit dalam masa 24 jam, namun kita mohon parti politik agar pohonlah permit ini dengan lebih awal untuk mengelakkan berlakunya pertembungan dengan parti-parti lain di satu-satu kawasan,” katanya. – UTUSAN