PRN: PH-BN boleh menang dua pertiga di Pulau Pinang jika undi kedua-dua parti disatukan - Utusan Malaysia

PRN: PH-BN boleh menang dua pertiga di Pulau Pinang jika undi kedua-dua parti disatukan

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) bersama Saraswathy (dua dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Jentera Bilik Gerakan Utama N17 Bukit Tengah di Kampung Bagan Nyior, Juru, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang dijangka mampu menang dengan majoriti dua pertiga jika undi yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan dapat disatukan sepenuhnya.

Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, justeru, amat penting untuk kedua-dua pihak bekerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Walaupun banyak kali disebut apabila pembangkang (Perikatan Nasional, PN) menang beberapa kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu, mereka juga akan menang beberapa kerusi lagi di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) selepas ini.

“Tapi, dalam hal ini, saya mahu meyakinkan jentera (PH-BN) bahawa jangkaan itu hanya berdasarkan kepada apa yang rakyat undi pada PRU sebelum ini sahaja.

“Pada masa itu, ada tiga gabungan (parti) yang besar untuk dapatkan sokongan rakyat iaitu PH, BN dan PN. Bagaimanapun, kali ini, kita akan hadapi PRN dengan gabungan baharu iaitu BN,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bilik Gerakan Utama N17 Bukit Tengah yang turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR, K. Saraswathy di Kampung Bagan Nyior, Juru, dekat sini malam tadi.

CHOW Kon Yeow ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bilik Gerakan Utama N17 Bukit Tengah di Kampung Bagan Nyior, Juru, Pulau Pinang malam tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, PH Pulau Pinang akan menggunakan pengalaman selama 15 tahun mentadbir negeri itu bagi meyakinkan pengundi untuk terus memilih mereka selepas ini.

Katanya, 15 tahun adalah satu tempoh yang agak panjang dan pelbagai kemajuan telah dicapai oleh Pulau Pinang sepanjang tempoh berkenaan.

“Sepanjang lima tahun saya berkhidmat sebagai Ketua Menteri juga, saya bangga dengan prestasi kita (kerajaan PH Pulau Pinang) kerana walaupun berdepan pandemik Covid-19, kita kekal sebagai juara pelabur asing berbanding negeri lain.

“Pada masa sama, kita juga adalah negeri pengeksport paling unggul dan mencatatkan kadar KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) paling tinggi di Malaysia,” katanya yang akan memastikan segala projek yang telah dirancang sebelum ini akan dilaksanakan dengan sempurna jika PH diberi mandat sekali lagi pada PRN akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya