KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd. Imran Tamrin bersedia menyahut cabaran untuk sekali lagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Meletakkan fokus kepada anak muda, beliau mahu mengubah persepsi golongan berkenaan yang menganggap politik ini tidak bersih atau sebaliknya.
Dengan pengalaman yang ada, Mohd. Imran yakin akan kemampuannya itu untuk memberi kemenangan buat Barisan Nasional (BN).
“Saya berpegang kepada prinsip khidmat masyarakat dan fokus politik anak muda. Saya mahu anak muda dan generasi baharu melihat politik ini adalah satu perkara yang positif.
“Kita tidak mahu ahli politik dikaitkan dengan perkara negatif dan persepsi yang tidak baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Imran berkata, individu yang menggalas tugas sebagai wakil rakyat perlu menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan telus.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd. Imran memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang selepas memperoleh 10,530 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mariam Abdul Rashid (8,446 undi) dan calon Pas, Mohd. Razali Saari (6,999 undi).
Untuk rekod, Mohd. Imran Berasal dari pekan Sungai Nibong, Sekinchan dan merupakan seorang peguambela dan peguamcara aktif dalam melakukan kerja khidmat masyarakat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN