PRN: Pensyarah USM ramal kerajaan negeri sedia ada di 6 negeri tidak berubah - Utusan Malaysia

PRN: Pensyarah USM ramal kerajaan negeri sedia ada di 6 negeri tidak berubah

P. SIVAMURUGAN ketika menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia di USM, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pilihan raya di enam negeri yang akan berlangsung 12 Ogos depan dijangka menyaksikan gabungan parti politik sedia ada kekal mentadbir negeri masing-masing.

Penganalisis politik, Prof Dr. P. Sivamurugan berpendapat, status quo sedia ada iaitu parti gabungan Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, walaupun status quo kekal di enam-enam negeri itu, beliau menjangkakan majoriti undi terutama melibatkan undi Melayu akan menurun.

“Status quo mungkin berlaku di enam negeri, cuma majoriti undi akan menurun dan nampaknya kerusi-kerusi (Dewan Undangan Negeri) Melayu lebih goyah.

”Sekiranya tidak ada sabotaj dalaman, gabungan parti-parti sedia ada boleh menang, namun setiap parti perlu juga melihat soal pemilihan calon serta isu-isu dalaman parti,”katanya ketika ditemui di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia yang turut dihadiri Naib Canselor USM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

P. SIVAMURUGAN (kanan) menerima cenderamata daripada Abdul Rahman Mohamed selepas menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia di USM, Pulau Pinang hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN di enam negeri diadakan serenta iaitu pada 12 ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Menurut Sivamurugan, para pengundi pada masa ini berada dalam kekeliruan kerana parti-parti politik bergabung secara tiba-tiba selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

”Ini kerana mereka (parti politik) yang bergaduh sebelum ini tiba-tiba bergabung, tetapi ini bukan baharu lagi, sejak tahun 1969 perkara ini sudah berlaku.

“Di sini pentingnya pimpinan atasan parti menerangkan kepada setiap peringkat tentang kepentingan kerjasama ini dibentuk iaitu untuk memastikan kestabilan politik, kerajaan yang lebih kukuh ampuh dan dengan majoriti yang lebih besar, jika ia tidak dilakukan keadaan akan jadi tidak menentu,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, untuk memastikan negara dapat bergerak ke depan, setiap gabungan politik perlu mengelak daripada terus memainkan isu-isu sensitif melibatkan agama, bangsa dan institusi raja-raja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya