BAYAN LEPAS: Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang (PH), Chow Kon Yeow menafikan ceramah anjuran PH di sebuah dewan himpunan di sini semalam tidak mendapat sambutan orang ramai.
Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, ini kerana selepas pandemik Covid-19, norma kehidupan orang ramai telah berubah yang mana mereka kini memilih mendengar ceramah secara online.
”Kita ada siarkan ceramah di ‘Facebook live’, mungkin ia sampai kepada penonton dengan jumlah yang lebih banyak.
”Ia satu norma baharu, tetapi kita perlu usaha walaupun (ceramah) diikuti secara online, tetapi perlu berusaha secara fizikal untuk mencapai pengundi sasaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kon Yeow diminta mengulas mengenai gambar tular di media sosial mengenai ceramah anjuran PH yang kelihatan kosong tanpa kehadiran orang ramai.
Malah, terdapat dakwaan orang ramai bertindak meninggalkan majlis itu selepas seorang pemimpin kanan DAP tampil berucap.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) juga baru memasuki hari pertama semalam dan masih ada baki 14 hari untuk setiap parti menjalankan kempen.
”Kita ada pelbagai bentuk aktiviti termasuk yang lebih penting kita adakan ‘walkabout’, banyak KADUN juga mulakan kempen secara ‘walkabout’,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan orang ramai yang didakwa meninggalkan majlis ketika seorang pemimpin kanan DAP berucap, Kon Yeow berkata, perkara berkenaan adalah perkara biasa di sebuah majlis ceramah.
”Dari dahulu memang macam itu (orang ramai meninggalkan majlis), ketika malam semakin lewat, orang tua-tua akan meninggalkan majlis.
”Selalunya saya menjadi penceramah terakhir, hampir setengah dan suku dewan kosong,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, setakat ini sambutan pengundi ketika beliau mengadakan ‘walkabout’ di beberapa kawasan adalah sangat baik. – UTUSAN