KUALA TERENGGANU: Pergerakan Pemuda UMNO akan berkongsi pentas ceramah bersama parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) di enam negeri menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Pemuda UMNO telah bersedia untuk mengadakan kempen bersama Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP untuk saling membantu calon-calon yang bertanding mewakili parti-parti tersebut.
Menurutnya, beliau memberi jaminan tidak timbul isu kerjasama tersebut kerana Pemuda UMNO dan PH telah menyusun beberapa program secara bersama di peringkat Pusat dan negeri pada kempen PRN nanti.
“Kita (Pemuda UMNO) tidak mempunyai masalah (berkongsi pentas ceramah) dalam memastikan kemenangan calon pemuda BN dan PH.
“Kita pun mengharapkan Amanah dan PKR akan bantu (calon) kita di setiap DUN yang kita bertanding dan kita akan bantu Amanah ataupun PKR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Jalinan Pengundi Muda (JPM) Pemuda dan Puteri UMNO Terengganu di sini, malam tadi.
Muhamad Akmal memberitahu, antara program bersama yang diatur Pemuda UMNO dan PH adalah pelancaran Geng Perpaduan Festival Peringkat Pusat di Selangor pada 22 Julai ini.
“Program tersebut dilancarkan bagi menunjukkan solidariti Pemuda dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Pada 5 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian di enam yang mengadakan PRN.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal, tarikh ditetapkan pada 8 Ogos.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN ialah Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. – UTUSAN