NIBONG TEBAL: Peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk ‘menawan’ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh disifatkan masih terbuka selepas PKR bersetuju menyerahkan kerusi tersebut untuk ditandingi atas dasar semangat perpaduan.
Sehubungan itu, calon UMNO yang dipertaruhkan di kerusi itu, Rashidi Zinol, 53, berharap dapat memenangi hati pengundi di kawasan tersebut yang hampir 47 peratus daripadanya terdiri daripada kelompok pengundi muda.
“Saya percaya sokongan terhadap UMNO di Sungai Acheh masih kuat. Cuma, mungkin pemahaman masyarakat tentang Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani masih kurang.
“Jadi, kita akan terus ‘turun padang’ dan pergiatkan kempen seperti dulu termasuk kempen dari rumah ke rumah dan sebagainya.
“Untuk memenangi hati orang muda pula, saya nampak antara cara yang paling berkesan ialah memang kita kena turun berjumpa dengan mereka walaupun kelompok kecil selain meminta ibu bapa membantu dalam memberi penerangan kepada anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal itu mula berkecimpung dalam arena politik sekitar 1995 dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Setar Besar di sini.
Selain ahli politik, Rashidi yang kini dikenali dengan slogan ‘Orang Kampung Kita’ itu juga merupakan seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam bidang pembinaan.
Mengulas lanjut, Rashidi mengakui kempen melalui media sosial terutama aplikasi TikTok yang digerakkan oleh Perikatan Nasional (PN) ketika ini mampu mempengaruhi pengundi-pengundi muda khususnya.
“Sebab itulah apabila saya selalu buat perjumpaan dengan masyarakat terutama anak muda ini, saya perlu cerita habis (beri penerangan penuh).
“Contohnya, kita (pengundi) sering dimomokkan jika pangkah BN dapat DAP. Walhal, DAP itu tak bertanding pun di sini (Sungai Acheh). Jadi, kita beritahu apa yang kita buat ini (bekerjasama) adalah untuk rakyat dan yang penting, ia menguntungkan mereka juga,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Acheh sebelum ini disandang wakil PKR, Zulkifli Ibrahim yang menewaskan penyandang, Datuk Mahmud Zakaria dari UMNO yang menjadi wakil rakyat kawasan itu selama dua penggal sejak 2008. – UTUSAN