PRN: Pejuang harap dapat kerjasama dengan PN - Utusan Malaysia

PRN: Pejuang harap dapat kerjasama dengan PN

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN : Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berharap pimpinan Perikatan Nasional (PN) dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk parti itu bekerjasama dengan gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana parti itu tidak mahu dilihat sebagai faktor yang memecah-belahkan undi Melayu dalam PRN kerana penyatuan undi Melayu adalah satu cara terbaik bagi parti itu serta PN berdepan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

”Respon pasang surut daripada PN, pada mulanya saya sendiri ada berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

”Memang dari awal kami optimistik dan menerima respon positif, jadi apabila kami mohon (sertai PN) dan ditolak, kami rasa kecewa, sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami harap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Pecanggahan Dalam Arena Politik Malaysia yang disampaikan oleh Profesor Dr. P. Sivamurugan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.

Kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan pertemuan hampir dua jam di rumah Dr. Mahathir, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Mukhriz, tujuan utama mengapa Pejuang mahu bekerjasama dengan PN ialah untuk memastikan dalam PRN akan datang wujud keadaan satu lawan satu serta mengelakkan berlakunya pertembungan kerusi antara calon Pejuang dan PN.

”Kami mahu undi Melayu disatukan dan kami rasa ini formula terbaik untuk memastikan kemenangan apabila berhadapan dengan gabungan PH-BN, itu hasrat kami.

”(Tetapi) buat masa ini, belum ada lagi keputusan dan kita menantikan kalau ada berita baik setelah Dr. Mahathir berjumpa Muhyiddin semalam,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, Pejuang juga tidak bercita-cita untuk menguasai politik negara atau membentuk kerajaan secara bersendirian.

”Tujuan kami bukannya untuk menguasai politik, kami tahu bagaimana untuk ukur baju di badan sendiri.

”Kita juga tidak bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar atau kerajaan secara bersendirian, kita mesti bergabung dengan pihak lain dan kita nampak PN adalah gabungan terbesar yang dapat beri saingan sengit kepada PH-BN dan Kerajaan Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya