KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu percaya calon-calon yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi cabaran kepada Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau mendapati calon-calon BN yang bakal bertanding nanti akan memberi saingan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti.
“Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang dipilih sebagai calon untuk bertanding bagi pihak BN dan tentulah selepas ini Pakatan Harapan pula akan mengumumkan calon-calon mereka.
“Cabaran sebagai calon telah pun bermula dan kita ucapkan selamat bertanding dalam pilihan raya. Dalam apa juga pertandingan, tentulah ada persaingan.
“Cuma kita berharap supaya persaingan itu akan berlangsung dalam suasana lebih harmoni dan berada keadaan baik selain mewujudkan politik yang baharu di negara ini terutama di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Pesisir Payang, di sini, malam tadi.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas Terengganu akan menampilkan lebih ramai calon baharu terutama dalam kalangan orang muda untuk bertanding dalam PRN itu.
“Saya tak kira berapa jumlah peratus (calon muka baharu) cuma rasa ramai juga terutama dalam kalangan orang muda,” ujarnya.
Pada Malam tadi, calon BN akan bertanding dalam 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 245 kerusi di enam negeri yang terlibat dalam PRN itu.
Di Terengganu, BN akan bertanding di 27 kerusi DUN manakala lima lagi akan ditandingi calon Pakatan Harapan.
Daripada 27 kerusi itu, seramai 15 orang adalah calon muka baharu manakala 12 lagi calon yang pernah bertanding dan penyandang kerusi DUN sebelum ini. – UTUSAN