PRN: Pak Ya, Nurul bertembung satu lawan satu di Permatang - Utusan Malaysia

PRN: Pak Ya, Nurul bertembung satu lawan satu di Permatang

Permatang
MOHD. Yahya Mat Sahri dan Nurul Syazwani Noh selepas diumumkan calon di IPP Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Kerusi tumpuan N.09 itu ditandingi Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd. Yahya Mat Sahri yang dicabar Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, Nurul Syaz­wani Noh.

Pengumuman rasmi senarai calon itu dilakukan Pengurus Pilihan Raya Bahagian Permatang, Mohd. Tirmidzy Che Mat di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Tanjong Karang di sini, pukul 10.20 pagi tadi.

Mohd. Tirmidzy berkata, pihaknya sudah menyemak borang pencalonan yang hanya dikemukakan dua calon bagi DUN itu.

“Selepas melakukan semakan, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon ditolak kertas penamaannya. Calon yang disahkan bertanding merupakan Mohr. Yahya dari PH dan Nurul Syazwani mewakili PN. Hari mengundi ditetapkan pada 12 Ogos depan,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Yahya yang juga Ketua Cabang Parti PKR Tanjong Karang tiba dengan berbaju Melayu putih di pusat penamaan calon itu bersama lebih 200 penyokong PH-BN, pukul 8.50 pagi.

Manakala, Nurul Syazwani yang berbaju hitam diiringi bapanya, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bersama penyokong Perikatan Nasional (PN) lima minit kemudian.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Permatang mempunyai 30,793 pengundi biasa, tiga pemgundi luar negara dan tiada pengundi polis.

Kawasan itu mempunyai seramai 23,199 pengundi dewasa, 5,746 pengundi warga emas dan 1,851 pengundi belia.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan  Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya