PRN: Muda bukan 'ancaman' PH-BN menangi hati pengundi muda - Utusan Malaysia

PRN: Muda bukan ‘ancaman’ PH-BN menangi hati pengundi muda

DR. MUHAMAD AKMAL Saleh (depan, empat dari kiri) bersama Adam Adli Abd. Halim (lima dari kiri) pada sesi ceramah Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang di Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini dilihat tidak akan menjejaskan peluang gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi hati pengundi muda.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, dalam hal ini, kehadiran Muda yang akan bertanding secara solo juga tidak dianggap sebagai satu ‘ancaman’.

“Bagi kami tidak ada parti yang ada ancaman. Kita ada sistem demokrasi yang adil. Jadi, semua orang ada hak untuk bertanding dalam pilihan raya ini.

“Apabila Muda membuat keputusan untuk bertanding (secara solo), terpulanglah kepada rakyat untuk menilai parti mana yang benar-benar membawa suara dan masalah mereka untuk didengari.

“Jadi, ia bukanlah mengenai sebuah parti yang hanya retorik semata-mata,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha yang mula digerakkan oleh parti yang diterajui oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dalam ‘memancing’ undi orang muda.

Beliau ditemui pemberita pada sesi ceramah Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim serta ketua-ketua sayap Pemuda Perpaduan peringkat negeri di Guar Perahu, di sini malam tadi.

DR. MUHAMAD AKMAL Saleh ketika berucap pada sesi ceramah Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang di Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi.

Selain sesi ceramah, turut diadakan pada majlis yang sama ialah gimik penyerahan Baju Belia Madani serta pelancaran Skuad Sukarelawan Belia Madani Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal mengakui agak ‘kekok’ untuk berkongsi pentas ceramah dengan sekutu baharu BN iaitu Pakatan Harapan (PH) buat kali pertama.

“Kalau tak kekok itu pembohong lah. Memang kekok sebab kita tidak pernah sepentas dengan pemimpin PH sebelum ini. Tapi, saya percaya segalanya bermula dengan langkah pertama.

“Langkah pertama ini sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat (secara keseluruhannya) dan bukan kepada parti-parti politik semata-mata,” katanya yang memberitahu, sokongan akar umbi terhadap gabungan dua parti besar itu juga dilihat semakin memberangsangkan ketika ini.

Tambah beliau, Pemuda UMNO yang telah memulakan gerak kerja sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kini komited melaksanakan gerak kerja secara bersama dengan sayap Pemuda Perpaduan yang lain bagi menghadapi PRN tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya