ALOR SETAR: Pernah bertembung di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Datuk Mahfuz Omar sekali lagi bertemu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radhi Mat Din di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.
Kawasan itu merupakan antara tarikan kerusi panas dalam Parlimen Alor Setar yang menjadi perhatian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di kesemua DUN terlibat termasuk Suka Menanti dan Kota Darul Aman.
Pertembungan dua penjuru turut berlaku di DUN Suka Menanti yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Zamri Yusuf ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Dzowahir Ab Ghani.
Sementara di DUN Kota Darul Aman pula, penyandangnya, Teh Swee Leong (PH) akan ditentang oleh calon PN, Chuah See Seng.
Proses penamaan calon itu berjalan lancar dengan Swee Leong yang mewakili PH itu mendahului proses penamaan calon yang bermula pukul 9 pagi Kompleks Dewan Belia dan Sukan, di sini hari ini.
Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd. Yusri Md. Daud mengumumkan pihaknya menerima secara rasmi enam pencalonan berkenaan setelah proses penamaan ditamatkan pada pukul 10 pagi.
Pekarangan kompleks berkenaan mula dibanjiri penyokong parti masing-masing pada pukul 8.30 pagi yang berarak dengan bendera parti masing-masing sebelum calon memasuki dewan pada pukul 9 pagi. –UTUSAN