PADANG TERAP: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Dan Tanah Padang Terap kira-kira pukul 8.39 pagi sambil diiringi penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH).
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu itu tiba serentak bersama calon PH DUN Kuala Nerang, Ridzwan Abu Bakar.
Kira-kira 1,000 penyokong dari kedua-dua gabungan tersebut turut berarak mengiringi kedua-dua calon itu.
Terdahulu kedua-dua penyandang DUN Pedu dan Kuala Nerang iaitu Mohd Radzi Md. Amin serta Munir Zakaria yang mewakili Perikatan Nasional (PN), tiba di lokasi sama kira-kira pukul 8.23 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohd. Radzi menang DUN Pedu dengan majoriti 670 undi, manakala DUN Kuala Nerang pula menyaksikan Munir menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 1,619 undi.
Seramai 28,586 pemilih layak mengundi di DUN Pedu melibatkan 51 saluran manakala 31,287 pemilih lagi bakal menentukan wakil rakyat mereka di Kuala Nerang melibatkan 60 saluran mengundi. – UTUSAN