PRN: Kempen PRN Dominic di DUN Bayan Lepas hambar - Utusan Malaysia

PRN: Kempen PRN Dominic di DUN Bayan Lepas hambar

KEMPEN calon PN DUN Bayan Lepas, Dominic Lau di Pasar Taman Sahabat dan Jalan Kolam Ikan, Bayan Lepas Pulau Pinang hari ini berlangsung hambar tanpa kehadiran jentera Pas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Datuk Dr. Dominic Lau berlangsung dalam keadaan ‘hambar’ tanpa kelibat jentera atau wakil Pas.

Situasi itu dapat dilihat ketika Dominic yang juga Presiden Parti Gerakan turun berkempen dan menjalankan ‘walkabout’ di Pasar Taman Sahabat dan Jalan Kolam Ikan di sini.

Ia seolah-olah mengesahkan kempen PRN yang digerakkan Dominic telah diboikot oleh akar umbi dan jentera Pas di DUN Bayan Lepas.

Ia susulan dakwaan Dominic ‘mencantas’ Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang dinamakan sebagai calon DUN Bayan Lepas oleh pimpinan Pas Pusat.

Bagaimanapun, Dominic yang juga Pengerusi PN negeri menafikan ahli akar umbi Pas Cawangan Bayan Lepas memboikot kempennya memandangkan beliau turun berjumpa pengundi India dan Cina hari ini.

”Ada jentera Pas bantu, semasa penamaan calon sudah ada yang turun. Bukan semua kempen ada (jentera) parti komponen perlu turun, hari ini juga kalau kita lihat Bersatu tidak turun kerana hari ini saya jumpa orang India dan Cina.

”Kita ada peranan masing-masing, ada jentera yang memasang bendera, kerja memasang poster dan sebagainya,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan ‘walkabout’ di sebuah flat di Jalan Kolam Ikan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, beliau juga telah menemui beberapa cawangan dan pemimpin akar umbi Pas di DUN Bayan Lepas bagi membincangkan soal-soal kempen untuk kemenangan PN di DUN berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau telah berhubung dengan Iszuree berhubung penamaan beliau sebagai calon DUN Bayan Lepas, Dominic berkata, beliau ada berbuat demikian sebelum hari penamaan calon.

”Isu-isu ini akan diselesaikan secara dalaman, dan seperti yang saya katakan ini adalah isu berkaitan komunikasi dan salah faham yang berlaku antara PN Pulau Pinang.

”Semua cadangan, pandangan, perspektif adalah berlainan, kita cuba terangkan dan harap mereka terima,” katanya.

Sementara itu, Iszuree ketika dihubungi enggan mengulas mengenai isu-isu berkaitan dakwaan Pas Bayan Lepas memboikot kempen Dominic itu.

”Saya tidak ada apa-apa lagi ‘respond’ (maklum balas) berkaitan hal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya