SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memanggil nazir Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang susulan tular Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berucap di dewan solatnya, semalam.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara tersebut.
“Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama. JAIS telah menjalankan siasatan dengan memanggil nazir masjid itu bagi mendapatkan keterangan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular gambar Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam media sosial yang dilihat berucap di ruang solat utama sebuah masjid.
Sementara itu JAIS dalam kenyataan sebelum ini berulang kali menegaskan larangan menjadikan rumah ibadah sebagai medan politik seperti yang pernah dititah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Ahli politik yang didapati menggunakan masjid atau surau dengan tujuan yang tidak dibenarkan oleh Sultan Selangor dan MAIS dianggap menghina, mengingkari dan melanggar titah.
“Mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 12 (a) atau (b), enakmen sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shahzihan menambah, pentadbir masjid dan surau diingatkan juga untuk mematuhi serta menguatkuasakan larangan tersebut bagi memastikan rumah ibadah di negeri ini sebagai zon aman dan bebas pengaruh politik.
Katanya lagi, MAIS berkuasa membatalkan lantikan pegawai masjid jika gagal atau cuai mematuhi arahan tersebut berdasarkan Peraturan 7 (f) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017. – UTUSAN