KUCHING: Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan gabungan parti itu tidak akan menghantar jentera untuk sertai proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri akan datang.
Sebaliknya, GPS meletakkan kepercayaan kepada barisan ahli Kabinet Persekutuan daripada GPS untuk bantu proses PRN di negeri yang terlibat (Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu).
“Kita telah berbincang mengenai enam pilihan raya negeri di Semenanjung dan kita (GPS) adalah komponen kepada Kerajaan Perpaduan, oleh itu GPS mempunyai kewajipan untuk memberi sokongan kepada parti perpaduan yang akan bertanding di sana nanti.
“GPS dalam Kabinet Persekutuan terdiri daripada lima menteri, tujuh timbalan menteri termasuk seorang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Justeru, tugas mereka adalah memberi sokongan kepada parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GPS di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), yang turut dihadiri Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhasrat agar kepemimpinan dan kestabilan yang dicapai oleh GPS dapat dijadikan contoh di Semenanjung, sekali gus menyertai proses kempen PRN di negeri yang terlibat.
Justeru, Abang Johari menjelaskan akan menghantar barisan Kabinet Persekutuan parti GPS pada hari pencalonan di beberapa negeri yang terlibat PRN Semenanjung.
“Malah, semasa hari pencalonan kita akan menghantar wakil kita di beberapa negeri yang terlibat.
“Isu di Semenanjung, kita sebenarnya tidak tahu (apa yang berlaku selepas itu), tetapi kita ingin tekankan adalah penting untuk kita mempunyai kerajaan yang stabil,” tegas beliau.
Terdahulu Abang Johari dalam mesyuarat tersebut diberikan taklimat berhubung kerjasama antara Parti Demokratik Progresif (PDP) dan parti pembangkang Sarawak, Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Katanya, kerjasama yang terjalin itu disifatkan sebagai niat yang baik, pada masa yang sama menegaskan bahawa GPS berpolisi terbuka kepada mana-mana parti yang mahu menjalinkan kerjasama demi membawa kemakmuran bersama dalam Sarawak.
“Terbukti, sebab itu kita telah diakui sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia. Malah kalau ada ahli (PSB) mahu membantu, kita terima dan itu pendirian polisi GPS.
“Paling penting ialah Sarawak dikenali sebagai sebuah negeri yang memiliki perpaduan yang kuat,” tambah beliau. – UTUSAN