BUTTERWORTH: Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Permatang Berangan dan Telok Ayer Tawar hari ini masing-masing menyaksikan pertandingan dua penjuru di antara calon Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Calon daripada blok PH-BN itu diwakili Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Shaikh Hussein Mydin yang bertanding di kerusi DUN Sungai Dua; penyandang kerusi DUN Permatang Berangan sejak 2018, Nor Hafizah Othman (BN) dan Pengerusi Biro Keusahawanan PKR Cabang Tasek Gelugor, Abdul Mohsein Mohd Shariff (PKR) di kerusi Telok Ayer Tawar.
Calon daripada blok PN bagi ketiga-tiga DUN Sungai Dua, Permatang Berangan dan Telok Ayer Tawar pula masing-masing Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof; Yang Dipertua (YDP) Pas Bahagian Tasek Gelugor, Mohd. Sobri Salleh dan Ketua Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Azmi Alang.
Terdahulu, pemimpin dan penyokong parti berkumpul seawal 7.30 pagi untuk memberi sokongan kepada calon masing-masing.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Sungai Dua berjaya dipertahankan oleh penyandangnya, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor daripada BN yang berjaya meraih undi sebanyak 7,314 ketika menentang Zahadi Mohd. daripada Pas yang mendapat 5,380 undi dengan majoriti undi sebanyak 1,934. – UTUSAN