ALOR SETAR: Polis Kedah mengesan dua kes dron termasuk satu daripadanya yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertanian tersasar jatuh ke atas penyokong parti ketika proses penamaan calon di Kuala Kedah.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, satu kes lagi melibatkan dron yang diterbangkan di pekarangan pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang yang membawa penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun.
“Kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi apabila sebuah dron diterbangkan seorang lelaki di atas penyokong semasa penamaan calon di Pendang. Pegawai kita menahan orang yang mengendalikan dron berkenaan. Dron jenis DJi itu turut dirampas.
“Kes kedua di Kuala Kedah, dron terjatuh di atas penyokong menyebabkan seorang wanita berusia 50-an cedera namun stabil setelah mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah. Kita menjalankan siasatan dron tersebut yang digunakan untuk pertanian dipercayai tersasar ke kawasan itu lalu terjatuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata Fisol, pihak polis mengeluarkan amaran kepada semua pihak tentang larangan penggunaan dron sepanjang PRN tersebut termasuk ketika ceramah parti politik.
“Kes menggunakan dron ini kita akan siasat mengikut Peraturan 143 (1) Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. Saya nak menyeru kepada semua bahawa penggunaan dron ini memang tidak dibenarkan termasuk pada waktu ceramah.
“Pengendali dron ini perlu mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terlebih dahulu. Sekiranya kita dapati dron terlibat merupakan daripada program penceramah itu sendiri maka dia juga akan dipertanggungjawab (atas kesalahan),” katanya.
Menyentuh tentang proses penamaan calon di seluruh negeri kata beliau, ianya berjalan lancar di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa sebarang provokasi.
“Alhamdulillah, ia berjalan lancar. Kita menempatkan 2,694 anggota di semua pusat penamaan calon hari ini untuk memastikan ia berjalan lancar.
“Sementara itu polis juga menempatkan sebanyak 1,694 anggota memantau bagi sepanjang tempoh berkempen di setiap DUN berkenaan,” katanya. –UTUSAN