PRN: Dominic yakin dapat sokongan ahli Pas di DUN Bayan Lepas - Utusan Malaysia

PRN: Dominic yakin dapat sokongan ahli Pas di DUN Bayan Lepas

DOMINIC Lau dan Azrul Mahathir Aziz akan bertanding satu lawan satu antara PN dan PH-BN bagi merebut kerusi DUN Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Datuk Dr. Dominic Lau yakin beliau akan mendapat sokongan daripada semua parti komponen PN termasuk daripada ahli-ahli Pas.

Malah, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, ahli Pas turut hadir memberi sokongan kepadanya pada proses penamaan calon pagi ini meskipun tidak dapat menyatakan dengan jelas kelompok penyokong Pas berkenaan memandangkan mereka semua kini berada di bawah payung PN.

“Bukan sahaja parti komponen, malah saya juga yakin akan ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak gereja dan tokong yang akan bantu saya. Ini kerana, pengundi bukannya semua datang daripada parti politik, sebaliknya ia terdiri daripada rakyat Pulau Pinang.

“Saya betul-betul berharap agar mereka beri sokongan penuh untuk membolehkan saya mendapat mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada kali ini,” katanya selepas proses penamaan calon kerusi DUN Bayan Lepas di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Kerusi DUN Bayan Lepas itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Dominic dengan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga penyandang, Azrul Mahathir Aziz.

Terdahulu, Dominic ditanya sama ada kelibat jentera Pas turut hadir memberi sokongan kepadanya pada proses penamaan calon hari ini berikutan kontroversi pencalonannya di kerusi itu yang mendapat tentangan ahli-ahli Pas.

Sebelum ini, ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas mengugut akan memboikot pencalonan Dominic dan PRN kali kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan PN meletakkan Presiden Gerakan berkenaan bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan majoriti pengundi Melayu serta kubu kuat Pas.

Difahamkan, calon PN di kerusi DUN Bayan Lepas itu pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim.

Sementara itu, ditanya berkenaan cabaran untuk mendapatkan sokongan orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti di DUN Bayan Lepas, Dominic berkata, PN mengharapkan sokongan daripada semua kaum, bukan hanya daripada pengundi Melayu.

“Pengundi di Bayan Lepas adalah pelbagai kaum, oleh itu sebagai calon PN, kami mahu daptkan sokongan semua lapisan masyarakat tak kisah daripada mana-mana kaum dan agama atau yang miskin dan kaya.

“Sebab kita akan berusaha untuk dapatkan mandat dan sokongan daripada seluruh penduduk Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, Azrul Mahathir berkata, beliau tidak akan mengambil mudah cabaran pada PRN kali ini meskipun turun sebagai penyandang kerana menyedari lawannya memiliki nama besar dalam politik.

Begitupun, jelasnya, PH sudah bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja lawan di kerusi itu dan yakin rakyat sudah membuat keputusan dan menilai parti yang dimahukan mereka sejak lima tahun lepas.

“Kita nampak kesatuan mereka (PN) tak kukuh, ada masalah dengan parti dan calon yang mahu bertanding di sini, jadi itu akan jadi kekuatan kepada kita semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya