PRN: David tanding calon Bebas selepas keluar DAP - Utusan Malaysia

PRN: David tanding calon Bebas selepas keluar DAP

DAVID MARSHEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel, 47, bakal bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Prai Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas mengumumkan keluar daripada parti itu semalam.

Beliau berkata, keputusan sukar yang diambil itu bukan untuk kepentingan sendiri, sebaliknya mahu menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow sekali gus menyelamatkan parti itu daripada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

“Saya memutuskan akan bertanding sebagai calon Bebas dan ‘tagline’ kempen saya ialah ‘Bebaskan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’.

“Saya sudah bersama DAP selama 15 tahun, setia kepada parti dan berkhidmat kepada rakyat tanpa jemu.

“Namun, senarai calon DAP kali ini menyakitkan hati dan saya tidak kisah apabila terpaksa berkorban untuk menyelamatkan parti dan terus menyokong Kon Yeow walaupun sebagai calon Bebas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Difahamkan, David telah menyerahkan surat keluar DAP kepada Setiausaha Agung, Anthony Loke semalam.

Selain itu, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada hari sama.

Mengulas lanjut, David mendakwa, Guan Eng menyenaraikan calon-calon PRN-15 yang terdiri daripada pengikutnya sebagai salah satu usaha untuk kembali berkuasa di negeri ini.

Dakwanya, Guan Eng sedang mengatur langkah untuk menjauhkan Kon Yeow pada pemilihan jawatankuasa parti yang dijangka berlangsung awal tahun depan.

“Sebelum ini pun saya memang lantang bersuara, malah saya akan berucap di kongres dan menegur tindakan salah pemimpin DAP dan sudah tiba masanya orang luar tahu perkara sama.

“Saya ada pengaruh (influence) dalam parti dan saya nasihatkan mereka (ahli DAP) supaya jangan keluar, tunggu dan bantu Kon Yeow sehingga pemilihan jawatankuasa parti,” katanya.

Media semalam melaporkan, Guan Eng menggesa pemimpin DAP yang digugurkan daripada menjadi calon PRN Pulau Pinang supaya terus bersatu menyokong parti itu bagi memastikan negeri itu kekal ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Guan Eng berkata, DAP faham perasaan bekas wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula, tetapi berharap mereka akan menyokong keputusan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya