GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang menampilkan seramai tujuh muka baharu sebagai calon parti itu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Antara tujuh muka baharu yang ditampilkan ialah Phee Syn Tze yang bakal bertanding di DUN Sungai Puyu; Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal); K. Kumaran (Bagan Dalam); S. Sundarajoo (Perai); Joshua Woo Sze Zeng (Pulau Tikus); Wong Yuee Harng (Pangkalan Kota); Connie Tan Hooi Peng (Seri Delima).
Sementara itu, antara tujuh penyandang yang digugurkan DAP pula termasuk lima Exco kerajaan negeri iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Chong Eng (Pangkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) dan P. Ramasamy (Perai).
Turut digugurkan ialah M. Satees (Bagan Dalam) dan Lee Chun Kit (Pulau Tikus).
Sementara itu, 10 penyandang kerusi pula kekal bertanding di kerusi DUN masing-masing pada PRN kali ini.
Mereka terdiri daripada Chow Kon Yeow (Padang Kota); Heng Lee Lee (Berapit); Jason Hng Mooi Lai (Jawi); Zairil Khir Johari (Tanjong Bungah); Lim Guan Eng (Air Putih) dan Teh Lai Heng (Komtar).
Turut kekal tersenarai sebagai calon ialah Jagdeep Singh Deo (Datok Keramat); Liew Siew Khim (Sungai Pinang); Ong Ah Teong (Batu Lanchang); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).
Dua penyandang kerusi iaitu Daniel Gooi Zie Sen yang sebelum ini menyandang kerusi DUN Pangkalan Kota kali ini diletakkan bertanding di kerusi Padang Lalang.
Wong Hon Wai pula yang sebelum ini penyandang kerusi Parlimen Bukit Bendera diletakkan bertanding di kerusi DUN Paya Terubong.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyeru semua jentera dan kekuatan parti disatukan supaya DAP mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan sebarang cabaran.
”Kita mesti memastikan rekod DAP kekal dengan 19 kerusi pada PRN kali ini, ini indeks petunjuk prestasi (KPI) kita sejak 2008 di mana DAP tidak pernah menang kurang daripada 19 kerusi.
”Kita mesti kekal menang di 19 kerusi ini bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat ditubuhkan di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon-calon DAP Pulau Pinang untuk PRN Ke-15, di sini hari ini.
Dalam majlis sama, Loke turut mengumumkan dua calon DAP yang akan bertanding di Kedah iaitu Teh Swee Leong (Kota Darul Aman) dan Tan Kon Yew (Derga). – UTUSAN