PRN: Dalam senarai calon Pulau Pinang, tapi nama Dominic tidak diumum - Utusan Malaysia

PRN: Dalam senarai calon Pulau Pinang, tapi nama Dominic tidak diumum

CALON-calon PN yang akan bertanding pada PRN Pulau Pinang, 12 Ogos ini pada majlis pengumuman calon gabungan parti itu di Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang malam ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Pengumuman calon-calon bagi Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mencetuskan tanda tanya apabila calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas tidak dinamakan.

Tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu ada kaitan dengan demonstrasi yang diadakan sekumpulan ahli Pas Cawangan Bayan Lepas petang tadi yang membantah desas-desus Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau.

Bagaimanapun, nama Dominic yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akhirnya diletakkan untuk kerusi DUN Bayan Lepas iaitu dalam senarai penuh melibatkan keseluruhan 40 DUN yang dikeluarkan tidak lama kemudian sekali gus mengesahkan pencalonan pemimpin tersebut.

Pengumuman senarai calon itu dibuat oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam majlis pengisytiharan calon PRN Pulau Pinang di Pongsu Seribu, di sini malam ini.

Ronald ketika ditanya mengenai isu itu bagaimanapun meminta supaya wartawan merujuk senarai penuh calon yang terpilih dalam laman sesawang Pas manakala usaha untuk mendapatkan komen Dominic juga gagal apabila beliau dikatakan bergegas meninggalkan majlis lebih awal.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff memberitahu, kekeliruan mengenai calon untuk kerusi DUN Bayan Lepas itu akan ‘dileraikan’ dalam sidang akhbar oleh kepimpinan PN di peringkat Pusat esok.

“Biasalah. Semua parti ada (percanggahan pendapat). Kita mengambil tanggungjawab sebagai pimpinan untuk mententeramkan pengikut kita.

“Sebab itu, PN Pusat mengambil tanggungjawab untuk mengumumkan esok. Maka, kami di sini (Pulau Pinang), tak mau bagi, ‘special’ juga lah. Entah-entah dia (keputusan) berubah,” katanya.

Dalam pada itu, Pas meletakkan 10 calon pada PRN Pulau Pinang kali ini dengan tiga daripada calon berkenaan daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) manakala Gerakan dan Bersatu masing-masing akan bertanding 21 dan 11 kerusi.

Calon Pas, Mohd. Yusni Mat Piah kekal mempertahankan DUN Penaga manakala dua lagi calon Bersatu iaitu Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Zulkifli Ibrahim kekal bertanding di kerusi DUN Bertam dan Sungai Acheh.

Difahamkan, lebih daripada separuh calon PN Pulau Pinang untuk PRN kali ini terdiri daripada muka baharu termasuk satu-satunya calon wanita iaitu daripada Gerakan, Heng See Lin yang akan bertanding di DUN Datuk Keramat.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan kesemua pemimpin utama PN dicalonkan dengan Muhammad Fauzi akan bertanding di kerusi DUN Sungai Dua manakala Pengerusi Bersatu negeri, Zulkefli Bakar akan bertanding di kerusi DUN Penanti.

Selain tiga calon DHPP, PN Pulau Pinang juga akan mengetengahkan tiga calon dari Bersatu – Bersekutu yang akan diletakkan bertanding di kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada kalangan bukan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya